Khamis, 18 Februari 2016

Kerajaan wajar ambil serius nasihat Majlis Raja-raja mengenai RUU MKN, kata bekas KPN

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pandangan Majlis Raja-raja bahawa beberapa peruntukan dalam Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu diperhalusi, wajar diambil perhatian serius oleh kerajaan, demikian reaksi bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
 
Jelasnya, pandangan daripada majlis berkenaan perlu dipandang serius memandangkan ia melibatkan isu keselamatan dan kedaulatan negara, selain bagi mengelakkan timbulnya sebarang isu di kemudian hari.
 
"Kalau itu nasihat dari Majlis Raja-raja, kerajaan kena lihat balik apa pandangan yang telah diberikan oleh Majlis berkenaan.  
 
"Cadangan Majlis Raja-raja itu elok untuk memperhalusi Undang-undang MKN supaya apabila ia dilaksanakan nanti tidak akan timbul apa-apa masalah nanti," katanya kepada Antarapos. 
 
Semalam Majlis Raja-raja berpendapat bahawa ada beberapa peruntukan dalam rang undang-undang berkenaan yang perlu diperhalusi dan ditambah baik oleh kerajaan.
 
Pandangan itu dizahirkan selepas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali menyembahkan taklimat mengenai rang undang-undang MKN pada Mesyuarat Majlis Raja-raja yang ke-240 di Istana Negara, tanpa memperincikan peruntukan mana yang harus diperhalusi kerajaan.
 
Majlis berkenaan dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dihadiri kesemua Raja-raja kecuali Sultan Pahang yang diwakili Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, selaku Pemangku Raja Pahang.
 
"Saya rasa itu satu nasihat yang baik daripada Majlis Raja-raja untuk diperhalusi supaya ianya tidak akan menimbulkan apa-apa masalah," jelas Musa lagi.
 
Untuk rekod, RUU MKN 2015 memperuntukkan 15 kuasa khas bagi penubuhan MKN serta pasukan keselamatan mengawal dan menyelaras operasi berkaitan keselamatan.
 
RUU itu telah diluluskan Dewan Rakyat pada 3 Disember lalu dan disusuli kelulusan Dewan Negara pada 22 Disember tahun lalu.
 
Akta MKN ini memberi kuasa kepada Perdana Menteri atas nasihat majlis, mengisytiharkan kawasan tertentu di Malaysia sebagai kawasan keselamatan, dengan peruntukan 15 kuasa khas kepada Pengarah Operasi dan pasukan keselamatan.
 
 

Tiada ulasan: