SHAH ALAM: Langkah kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja warga
Bangladesh ke negara ini bukan satu langkah bijak kerana dikhuatiri
mengakibatkan kebanjiran 'melampau' apatah lagi dengan lambakan
Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang sedia ada, tegas Dewan Pemuda PAS
Pusat (DPPM).
Menurut Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi, apa yang lebih
menggusarkan adalah kemasukan pekerja Bangladesh dengan jumlah yang
besar kali ini tidak terhad untuk sektor pembinaan dan perladangan saja,
malah diluluskan juga kepada sektor perkhidmatan dan juga pembuatan
atau perkilangan.
"Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem pada
November 2014, jumlah pekerja asing didalam negara samada yang sah atau
pun tidak berjumlah seramai 6.7 juta orang dengan hanya sejumlah 2.1
juta orang sahaja yang mempunyai permit sah dan berdaftar dengan Jabatan
Imigresen.
"Dengan jumlah seramai itu ditambah pula dengan kemasukkan warga kerja
Bangladesh seramai 1.5 juta orang, ianya melebihi daripada jumlah
populasi etnik kaum cina dari kalangan warganegara berdasarkan sumber
daripada Jabatan Perangkaan iaitu sebanyak 6.64 juta orang serta boleh
menyebabkan ketidak seimbangan pola populasi penduduk di dalam negara,"
katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Walaupun kerajaan menyatakan kemasukan berkenaan sebagai menampung
kekurangan tenaga kerja di sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar,
namun ujar Khalil, keadaan berkenaan terlalu sukar diterima memandangkan
jumlah mereka yang terlalu ramai sehingga melebihi keperluan semasa
pekerja asing di dalam negara.
Oleh itu kata Khalil, sudah tiba masanya kerajaan memikirkan jalan
terbaik bagi mengatasi permasalahan tersebut serta mengkaji semula
polisi pengambilan tenaga kerja warga asing.
"Kerajaan seharusnya memikirkan cara terbaik untuk manfaat rakyat dan
negara seperti mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja
asing dalam pelbagai sektor didalam negara dan mewujudkan peluang
pekerjaan kepada rakyat tempatan serta dalam masa sama mengurangkan
kadar inflasi didalam negara.
"Kerajaan juga perlu mengklasifikasikan semula sektor-sektor yang
dibenarkan menggaji pekerja asing tanpa menjejaskan peluang anak
tempatan dalam mendapat pekerjaan.
"Kerajaan juga perlu menggalakkan majikan mengambil pekerja tempatan
untuk menggantikan pekerja asing seperti sektor pembuatan dan
perkhidmatan, menetapkan jumlah atau kouta sejumlah pekerja asing di
dalam setiap industri serta sektor pekerjaan," ujarnya.
Ujar Khalil lagi, dengan menambah jumlah warga asing yang ada
seolah-olah menunjukkan kerajaan tidak peka dengan permasalahan di dalam
negara seperti pemberhentian kerja, penutupan operasi syarikat dan
kesukaran mendapat pekerjaan di kalangan anak tempatan yang terpaksa
bersaing dengan warga asing untuk mencari sesuap nasi di negara sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan