Sabtu, 26 Disember 2015

YaPEIM sahkan dakwaan NOW beli simulator golf

 
Walaubagaimanapun, tujuan yayasan berkenaan untuk mempunyai simulator golf masih lagi tidak jelas. 





PETALING JAYA : Kenyataan yang dibuat oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Datuk Abibullah Samsudin pada Jumaat mengesahkan dakwaan Pusat Pemantau dan Pendedahan Maklumat Nasional (NOW) bahawa yayasan berkenaan membeli simulator golf.

Pengarah NOW, Akmal Nasir bagaimanapun mempertikaikan tujuan pembelian simulator golf itu, yang padanya, masih tidak jelas.

“Kini Ketua Pegawai Eksekutif mendakwa simulator golf itu adalah untuk hotel empat bintang milik YaPEIM yang masih lagi belum wujud.

“Perkara ini bertentangan dengan dengan fakta daripada Bajet 2013 YaPEIM yang menyatakan Pusat Latihan Latihan INPUT Golf atau Simulator Golf dibuat untuk Sukan Korporat YaPEIM,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan dengan itu, Akmal mengulangi persoalan mengapa YaPEIM membeli mesin tersebut kerana penyumbang yayasan berkenaan dan orang ramai berhak mengetahuinya.

“Berapa banyak mereka membayar untuk memperoleh dan mengekalkan simulator itu,” soalnya.

Menurutnya, ini disebabkan apa sahaja pendapatan YaPEIM yang dijana harus diserahkan kembali untuk aktiviti amal jariah, selaras dengan objektif yayasan itu.

Semalam, YaPEIM menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa yayasan itu membeli simulator golf menggunakan sumbangan jariah orang ramai.

Abibullah berkata, sebaliknya simulator itu dibeli hasil daripada pendapatan perniagaan yayasan itu.

Beliau berkata, simulator golf yang kini ditempatkan di bangunan sembilan tingkat milik YaPIEM di Petaling Jaya juga akan dijadikan pusat kecergasan dalaman apabila bangunan itu dinaik taraf kepada hotel bertaraf empat bintang kelak.

Tiada ulasan: