KUALA LUMPUR,  Suspek yang dipercayai terbabit dalam kebakaran yang memusnahkan enam kenderaan berhampiran Stesen LRT Taman Jaya minggu lalu akan direman tiga hari lagi.


Ketua Polis Petaling Jaya, ACP Mohd Zani Che Din berkata, suspek dijangka akan direman sehingga Isnin untuk membantu siasatan selepas Majistret Mahkamah Petaling Jaya membenarkan lanjutan reman itu hari ini.

Mohd Zani berkata, suspek juga dijangka akan didakwa selepas tamat tempoh reman.

Suspek berusia 20-an yang berasal dari Pantai Dalam, dipercayai dalang utama insiden itu.

Dalam kejadian pada 20 Disember lalu, enam kereta musnah selepas seorang penunggang motosikal bertindak membaling bom petrol ke arah salah sebuah daripada kereta terbabit.

Motif kejadian dipercayai akibat cemburu selepas isteri suspek dikatakan mempunyai hubungan dengan penjaga parkir di situ.

Suspek juga dikatakan dalam proses penceraian dengan isterinya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dengan melakukan perbuatan khianat.