MUAR,  Majlis Perbandaran Muar (MPM) memberikan tempoh sebulan kepada peniaga vape di daerah berkenaan untuk menghabiskan stok bahan itu di premis masing-masing, sebelum pengharaman penjualannya dilaksanakan pada 1 Januari nanti.


Yang Dipertuanya, Jamaludin A. Hamid berkata, pihaknya akan mengeluarkan notis mengenai perkara itu, dengan memberi amaran kepada peniaga vape yang ingkar akan didenda serta lesen perniagaan boleh ditarik.

“Denda sehingga RM2,000 boleh dikenakan, selain barang-barang mereka boleh dirampas. Sehingga tempoh itu, mereka perlu menjual stok sedia ada atau mencari alternatif untuk menghabiskan stok.

“Larangan penjualan vape nanti akan dikuatkuasakan melalui Undang-undang Kecil Tred Perniagaan, Industri dan Profesion di bawah MPM,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan Johor memaklumkan akan mengeluarkan pekeliling baru untuk mengharamkan penjualan vape, menerusi undang-undang kecil pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam masa terdekat.

Langkah tersebut susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Ahad lalu yang mengarahkan produk vape diharamkan di negeri itu, mulai 1 Januari 2016.

Jamaludin berkata, selepas penguatkuasaan itu, MPM akan bekerjasama dengan bahagian farmasi dan jabatan kesihatan daerah untuk menyerbu dan merampas produk vape mengikut Akta Racun 1952.

Katanya, ketika ini, peniaga produk vape di daerah itu menggunakan lesen barangan serbaneka dan beliau berharap semua peniaga vape mematuhi peraturan baru itu.

Jelasnya, MPM boleh mendapatkan perintah mahkamah untuk menutup premis pengusaha yang masih ingkar mematuhi arahan itu.