Jumaat, 4 Disember 2015

Dana RM2.6b: Pembangkang tak puas hati Zahid beri penjelasan

Oleh Azizul Osman

 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Biarpun kerajaan sudah menjelaskan mengenai dana RM2.6 bilion yang diterima Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pihak pembangkang masih belum berpuas hati dengan penerangan berkenaan.
 
Menurut Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, pembangkang sememangnya kecewa dengan penerangan itu biarpun telah dijelaskan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Dewan Rakyat awal hari ini.
 
"Saya tidak terkejut langsung malah saya tidak ambil serius, apabila beberapa minggu lalu dia (Datuk Seri Najib Tun Razak) kata bahawa ‎dia akan menjawab segala soalan mengenai RM2.6 bilion ini, malah kenyataan hari ini bukan kenyataan beliau. 
 
"Datuk Seri Zahid datang ke Parlimen untuk membaca kenyataan peribadi Perdana Menteri tak sama macam YB Nurul Izzah tadi walaupun dia menggunakan peraturan dewan yang sama tetapi Nurul Izzah kenyataan dia sendiri PM tadi kenyataan dibaca oleh TPM seolah-olah jawapan bagi kelakuan kerajaan", katanya di luar Dewan Rakyat.
 
Perkara sama turut disuarakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
 
Beliau menggesa Najib memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai isu tersebut.
 
"Tidak ada apa-apa pun penjelasan, jawapan itu telah memberi kehampaan kepada kami, kerana kami tunggu begitu lama. Hari ini hari terakhir di Parlimen, kita dijanjikan jawapan tapi jawapan bukan merupakan jawapan. Ini satu helah, subjudis, langsung tidak memuaskan", katanya.
 
Zahid hari ini memikul tanggungjawab untuk memberikan penjelasan mengenai isu dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi Najib dihadapan semua Ahli Parlimen.
 
Beliau dalam pada itu memberitahu Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali menasihatkan Najib untuk tidak memberikan sebarang kenyataan kepada mana-mana pihak kerana ia masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
 
 

Tiada ulasan: