SHAH ALAM,  Peniaga-peniaga di Anggerik Mall menyambut baik cadangan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menjadikan pusat beli-belah itu sebagai pusat Teknologi Maklumat (IT).


Siti Afifah, 23, ketika ditemui The Rakyat Post berkata, kehadiran pengunjung di Anggerik Mall agak berkurangan jika dibanding dengan tiga kompleks beli-belah berhampiran iaitu, Kompleks PKNS, SACC Mall dan Plaza Alam Sentral.

Kata Afifah, keadaan itu menyebabkan tidak banyak kedai yang beroperasi di Anggerik Mall dan pusat beli-belah untuk memerlukan satu identiti baru untuk menarik lebih ramai pengunjung.
Siti Afifah
Siti Afifah
“Anggerik Mall macam sunyi sedikit. Kalau boleh buka kedailah. Tengok di tingkat atas, tidak hidup, hanya kedai di bawah dengan kedai makan sahaja. Kalau hidupkan kedai-kedai di sini boleh tarik lebih ramai pengunjung lagi.

“Bila ada cadangan untuk buka Mara Digital rasanya boleh tarik lebih ramai orang. Di sini ada empat kompleks beli belah berdekatan dan bersaing sesama sendiri. Jadi Anggerik Mall perlu ada identiti sendiri,” katanya.

Bagi Noor Amanina Zakaria, 24 yang bekerja di agensi pelancongan pula, sepanjang bekerja di situ, beliau mendapati pengunjung hanya ramai apabila waktu rehat tengahari hari bekerja.

Keadaan itu disebabkan terdapat medan selera di Anggerik Mall yang menjadi pilihan orang ramai kerana menyediakan masakan Melayu yang sedap dengan harga yang murah jika dibanding dengan kawasan sekitar.
Noor Amanina
Noor Amanina
“Pengunjung ramai bila waktu tengahari sebab sini orang kata banyak masakan Melayu dan harganya sangat murah. Kalau hendak jadikan pusat IT memang sangat sesuailah.

“Plaza Alam Sentral besar, Anggerik Mall ini kecil dan kalau hendak banding dengan Kompleks PKNS dan SACC Mall, sini paling kecil. Kompleks lain ada macam-macam,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Fata Abd Hamid, 29 yang sudah enam tahun berniaga aksesori barang kemas dan cincin di Anggerik Mall menyifatkan cadangan itu akan menjadikan pusat beli-belah itu sebagai tumpuan terutamanya generasi muda.

Kata Fata, suasana di Anggerik Mall agak lengang ketika hujung minggu dan beliau bergantung kepada pelanggan tetap dan juga jualan online.

“Kalau hari cuti Sabtu Ahad, Sabtu terutamanya pengunjung sangat kurang. Kalau Mara ada buat aktiviti, adalah pengunjung datang tetapi bukan setiap minggu, bermusim. Macam pertandingan atau program bersama anak yatim, baru orang ramai datang.
Mohamad Fata
Mohamad Fata
“Mungkin kurang promosi aktiviti itu, orang tidak tahu apa ada di sini. Orang yang tahu sahaja datang. Kalau dibanding dengan PKNS, SACC sana lagi ramai walaupun sini ada acara,” katanya.

Bagaimanapun kata Fata, tahun kebelakangan ini keadaan ada nampak berubah sedikit apabila Tabung Haji membuka cawangannya di Anggerik Mall selain daripada pejabat Mara yang sudah lama berada di situ.

“Selain itu bila cuti sekolah pun boleh tahan sebab ada cawangan Tabung Haji di sini dan pejabat Mara. Contoh lepas UPSR, ramai orang datang ambil borang. Kalau buat Mara Digital akan tarik lagi lebih ramai orang,” ujarnya.

Ismail sebelum ini berkata, cadangan untuk mewujudkan Mara Digital Mall di pusat membeli-belah Anggerik Mall masih dalam peringkat perbincangan berikutan pusat beli-belah itu mempunyai keluasan yang agak terhad untuk menempatkan ruang jualan gajet dan telefon bimbit.