Jumaat, 9 Oktober 2015

Utusan gagal masukkan sabitan Fitnah II terhadap Anwar

Oleh: Ermizi Muhammad


KUALA LUMPUR- Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad untuk memasukkan sabitan Fitnah II dalam prosiding pembelaan kes saman Ketua Umum KEADILAN Saudara Anwar Ibrahim terhadap akhbar milik Umno itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Peguam Utusan Melayu, Firoz Hussein Ahmad pada 6 dan 7 September lalu.

“Pertuduhan sabitan sebelum ini tidak boleh digunapakai dan diterima sebagai bukti yang boleh sah dalam kes ini,” katanya.

Peguam Anwar, N Surendran sebelum ini menegaskan cubaan mengaitkan sabitan kes fitnah Anwar adalah tidak relevan dan tidak mempunyai sebarang kaitan dalam kes ini.

Beliau dalam sesi penghujahannya sebelum ini turut merujuk keputusan Mahkamah Rayuan pada Mei lalu yang memutuskan sabitan terhadap pertuduhan jenayah adalah tidak boleh digunapakai dalam kes sivil membabitkan Anwar Ibrahim.

“Mahkamah Tinggi tertakluk kepada keputusan Mahkamah Rayuan kerana ia adalah kuasa tertinggi yang ada di Malaysia,” katanya yang juga Ahli Parlimen Padang Serai.

Pada 2013, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham memutuskan Utusan Malaysia bertangungjawab memfitnah Anwar berhubung wawancara Anwar bersama Perbadanan Penyiaran British (BBC).

Namun tuntutan ganti rugi terhadap kes berkenaan belum diputuskan selepas peguam Utusan membangkitkan persoalan membabitkan sabitan kes liwat dalam penghujahannya.

Kes berkenaan difailkan Anwar pada tahun 2012 dengan menuntut ganti rugi dan perintah injuksi sebanyak RM50 juta terhadap Utusan Malaysia.

Pada 2 Julai tahun lepas, Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak memohon meminda kenyataan pembelaan mereka untuk memasukkan keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac tahun itu, yang mendapati Anwar bersalah meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, dan menjatuhkan hukuman penjara 5 tahun ke atas bekas ketua pembangkang itu.

Mereka juga mahu memasukkan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Februari tahun ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan. Hakim Hue menetapkan kes disambung semula pada 2.30 petang 19 Oktober 2015.

Tiada ulasan: