Isnin, 26 Oktober 2015

Tindakan 13 Ketua UMNO cawangan tidak betul -Isa Samad

 
Ia bertentangan dengan keputusan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian yang menyokong kepimpinan Najib.


isa-samad


SEREMBAN: Tindakan 13 cawangan UMNO di Bahagian Telok Kemang yang mendesak Datuk Seri Najib Razak meletakkan jawatan sebagai Presiden UMNO satu tindakan yang tidak betul.

Ketua UMNO Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad berkata, tindakan mereka seolah-olah tidak menghormati keputusan yang sudah dipersetujui bersama.

Katanya, mereka telah menyatakan pendirian masing-masing pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian sebelum ini dan bersetuju untuk menyokong kepimpinan Najib.

“Sepatutnya jika tidak menyatakan sokongan kepada presiden parti, cakaplah tidak sokong semasa persidangan tempoh hari ketika membentangkan usul sokongan terhadap kepimpinan parti. Ini tidak.

“Tindakan mereka semalam seperti tidak menghormati keputusan yang dipersetujui bersama,” katanya seperti yang dilaporkan Sinar Online.

Jelas beliau lagi, sewaktu membentangkan usul sokongan terhadap kepimpinan parti, semua cawangan telah sebulat suara menyatakan sokongan sepenuhnya terhadap Najib.

“Tidak ada pun yang tidak menyatakan sokongan. Kalau tidak mahu sokong, cakap masa dalam persidangan itu. Itu masa terbaik untuk berbincang. Tapi tiba-tiba pula semalam, cakap mahu presiden parti meletakkan jawatan.

“Walaupun itu hak suara mereka, tetapi cara ini tidak betul. Orang-orang macam ini memang tidak boleh menjadi pemimpin kerana tidak mempunyai prinsip,” katanya lagi.

Semalam, sebanyak 13 UMNO Cawangan di Bahagian Telok Kemang mendesak agar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan.

Wakil mereka, Ketua cawangan UMNO dari Taman TKK, Kamarulazman Habibur Rahman memberitahu, tindakkan ini dilakukan berikutan kerana hilang keyakinan ke atas kredibiliti Najib.

Tiada ulasan: