Ahad, 11 Oktober 2015

Tiada NUR Alert kerana tiada unsur jenayah dalam kes murid Orang Asli hilang, kata polis




Ika Ayel, salah seorang daripada 7 kanak-kanak Orang Asli yang hilang 6 minggu lepas. Mayatnya ditemui di tebing Sungai Perias semalam. – Gambar fail The Malaysian Insider, 10 Oktober, 2015.Ika Ayel, salah seorang daripada 7 kanak-kanak Orang Asli yang hilang 6 minggu lepas. Mayatnya ditemui di tebing Sungai Perias semalam. – Gambar fail The Malaysian Insider. 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
 
Polis menegaskan, pihaknya bertindak serta-merta dalam kes kehilangan kanak-kanak Orang Asli di Gua Musang, Kelantan walaupun ia tidak mengaktifkan sistem NUR (National Urgent Response) Alert.
 
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mazlan Lazim berkata, oleh kerana tidak wujud sebarang unsur jenayah dikesan dalam kes itu, yang dilaporkan 6 minggu lalu, tidak ada sebab bagi pihak berkuasa untuk mengaktifkan sistem itu.

NUR Alert adalah sistem amaran awal yang merangsangkan pihak berkuasa dan masyarakat untuk bertindak mengesan kanak-kanak hilang melalui satu rangkaian yang menyeluruh.

Ia berfungsi menyebarkan maklumat dengan segera dan secepat mungkin bagi membantu mengesan kehilangan kanak-kanak (di bawah umur 12 tahun) yang boleh menjadi mangsa jenayah atau penderaan. 
 
Mazlan berkata, berdasarkan laporan perisikan polis, yang dikumpul melalui semua saluran termasuk dari Cawangan Khas, tidak ada unsur jenayah ditemui dalam kes itu walaupun timbul kebimbangan di kalangan ahli keluarga yang kanak-kanak itu mungkin menjadi mangsa sindiket penjualan organ.

"Kami mempunyai risikan yang sangat kuat dan boleh diharap. Kami menerima maklum balas sifar, tidak ada sedikit pun maklumat mengenai unsur jenayah.

"Oleh kerana itu, kami percaya kanak-kanak itu hilang di dalam hutan. Maka itulah sebabnya kami tidak menggunakan NUR Alert untuk mencari mereka.

"Sejak awal, semua sumber tenaga dikerahkan untuk mencari mereka di sana," kata Mazlan sambil menambah, beliau juga memberi taklimat mengenai perkembangan yang sama kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa lawatan beliau ke Pusat Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) di Gua Musang pada 28 September.

Polis hari ini menemui satu lagi tinggalan rangka berhampiran Sungai Terias, dekat lokasi di mana 2 kanak-kanak Orang Asli yang hilang ditemui masih hidup semalam.

Polis masih belum mengenal pasti mayat tersebut tetapi percaya ia salah seorang daripada 7 murid Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi yang hilang sejak 23 Ogos itu.

Setakat ini, polis menemui 4 kanak-kanak, 2 masih hidup manakala 2 lagi meninggal dunia. Mayat yang ditemui pada Khamis juga masih belum dikenal pasti.

Mazlan berkata, mangsa yang selamat, Norieen Yakob, 10, dan Miksudial Aluj, 11, ditemui pada sebuah pokok besar yang mempunyai lubang kecil di tanahnya.

"Ia boleh digunakan sebagai tempat persembunyian, seperti gua kecil, dilindungi batang besar dan akar.

"Ia cukup besar untuk kanak-kanak gunakan sebagai tempat berlindung. Ini salah satu sebab mengapa kita tidak dapat mencari mereka sebelum ini," kata Mazlan.

Beliau berkata, kanak-kanak itu mungkin tidak mempunyai tenaga untuk menjerit meminta tolong apabila pasukan menyelamat mencari di kawasan sekitar itu.

"Kami komited untuk mencari seorang lagi kanak-kanak," kata Mazlan.

Mengenai dakwaan yang Norieen dan Miksudial diberi makanan oleh “seseorang”, Mazlan berkata perkara itu mustahil berlaku berdasarkan keadaan mereka yang lemah dan beliau percaya kanak-kanak itu merujuk kepada minuman yang mereka terima apabila mereka diselamatkan.

"Mereka ditemui dalam keadaan hanya tinggal kulit dan tulang. Tidak kelihatan seperti mereka diberi makan. Mereka kekurangan zat makanan dan mengalami dehidrasi," katanya.

Norieen, Miksudial dan 5 yang lain dikatakan melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dimarahi guru selepas ditangkap berenang di sungai berhampiran tanpa kebenaran. 
 
 

Tiada ulasan: