Sabtu, 17 Oktober 2015

Tak perlu lantik pengerusi dari luar PAC


Dr Tan Seng Giaw
Dr Tan Seng Giaw
 
 
SHAH ALAM – Tidak wajar melantik pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang baharu dari luar jawatankuasa itu kerana lima ahli sedia ada sudah mencukupi untuk berfungsi seperti biasa.

Timbalan Pengerusi PAC, Dr Tan Seng Giaw menegaskan walaupun keanggotaan jawatankuasa itu perlu diwakili oleh parti pemerintah, namun setiap ahli termasuk pengerusi itu tertakluk kepada undang-undang dan perlu menjalankan tugas dengan telus tanpa berpihak kepada parti masing-masing.

“Siapa saja dilantik pengerusi PAC, dia tidak lagi mewakili parti, kerana PAC itu untuk menyiasat untuk mendapat kebenaran apa saja yang berlaku dalam 1MDB. Pengerusi yang dilantik itu juga perlu ikut peraturan, tak payah lantik situ..sini, tak payah..kerana ahli yang ada pun cukup.

“Kita tak kira apa kebenarannya, tugas kita untuk mencungkil fakta-fakta kepada orang yang terbabit kemudian semua laporan ini akan dibentang ke Parlimen. Masalahnya bila menjalankan tugas, kita bukan lagi ahli Parlimen,” katanya kepada Sinar Online.

Beliau mengulas pelantikan Ahli Parlimen Rompin, Datuk Hasan Arifin sebagai Pengerusi PAC yang baharu bagi menggantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed yang telah dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri.

[ARTIKEL BERKAITAN:  MP Rompin Pengerusi PAC baharu]

Perkara itu dinyatakan dalam Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga Parlimen Ketiga Belas 2015 yang dimuat naik dalam Portal Rasmi Parlimen Malaysia, semalam.

Ia merupakan satu usul yang akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di pada persidangan Dewan Rakyat bermula Isnin ini.

Usul itu memerlukan sokongan majoriti anggota Parlimen sebelum Hasan dilantik mengetuai jawatankuasa Parlimen itu.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kepong itu turut menasihatkan pengerusi PAC yang baharu itu agar mengikut undang-undang negara dalam menyiasat skandal kewangan 1MDB.

“Ikut peraturan lah pengerusi, perkara ini besar, perkara yang ditonton..dilihat oleh dunia dan kita mesti tunjukan kita di Malaysia ini orang yang berintegriti, itu saja.

“Kita kena tunjuk kepada dunia kita boleh mampu dengan adil dan sakma untuk mencungkil kebenaran,” ujarnya.

Ditanya tentang kedudukan ahli PAC sedia ada dari pembangkang, beliau yakin ia masih kekal namun perlu kepada penggantian keanggotan dari BN untuk menyeimbangkan jawatankuasa itu.

“Itu memang tak nampak lagi (pengganti empat ahli BN), tapi masih kekal kerana kita masih ada lima ahli dari Pakatan.

“Nak seimbangkan PAC kena lantik dalam kalangan BN, itu memang dalam peraturan tetap kita pun sebutkan, kita berikhtiar untuk menyeimbangkannya,” katanya lagi.


Tiada ulasan: