KUALA LUMPUR, Rangka-rangka manusia ditemui di dua lokasi yang jaraknya kira-kira 100 kilometer jauh antara satu sama lain di Selangor dan Negeri Sembilan dalam tempoh 24 jam lalu, ketika sebuah pasukan petugas khas Bukit Aman menyiasat aktiviti sebuah geng penculikan yang didalangi anggota polis.


Namun begitu, pegawai tertinggi polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung penemuan itu.
Tetapi, menurut sumber yang rapat dengan keluarga mangsa hilang memberitahu The Rakyat Post, waris telah dihubungi sejurus sebelum tengah hari tadi untuk mendapatkan sampel DNA.

Difahamkan, polis yang dibantu unit anjing pengesan telah kembali ke lokasi berasingan itu untuk meneruskan penyiasatan mereka, pagi tadi.

Lokasi kejadian di Dengkil, Selangor dan Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu telah ditutup, bagi meneruskan siasatan di kawasan sekitar.

Penemuan itu adalah hasil siasatan polis yang mengesyaki wujudnya elemen-elemen kongsi gelap di pekan kecil Jempol, Negeri Sembilan pada hujung minggu lalu.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber itu mendedahkan, pihak-pihak yang terlibat dalam kegiatan kongsi gelap telah ditahan polis, berhubung  kaitan dengan penculikan dan kemungkinan pembunuhan mangsa culik.

“Setakat ini, sekurang-kurangnya dua rangka telah dijumpai dan polis belum mendedahkan punca kematian mereka.

“Keluarga mangsa dihubungi semata-mata untuk mendapatkan sampel untuk melakukan ujian DNA. Nampaknya, polis sedang tunggu laporan pemeriksaan forensik untuk mengenal pasti punca kematian,” demikian menurut sumber itu.

Sejak 2009, sekurang-kurangnya 10 kes ahli perniagaan dilaporkan hilang dan sehingga kini, tidak ada sebarang permintaan wang tebusan, sekaligus menyebabkan nasib dan lokasi mereka kekal misteri.

Semalam, keluarga mangsa-mangsa culik itu hadir ke Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman, untuk menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, kerana tiada sebarang perkembangan ke atas laporan yang dibuat ke atas penculikan ahli keluarga mereka selama ini.

Ahli keluarga turut mengharapkan kehadiran Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan peguam aktivis hak asasi manusia, P Uthayakumar dapat menamatkan penderitaan mereka, sejak penculikan tersebut berlaku pada Ogos 2009.

Kedua-dua peguam itu memberitahu, walaupun polis enggan mendedahkan perkembangan siasatan berkenaan, keluarga mangsa diberitahu bahawa empat anggota polis adalah antara beberapa orang yang ditahan polis.

Mereka kemudiannya mengemukakan rayuan kepada wakil pegawai tinggi polis, Superintenden Afzan Ahmad bagi meminta sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan untuk menyiasat kehilangan sekurang-kurangnya 10 individu berkenaan.

Disebabkan tiada permintaan wang tebusan bagi setiap penculikan itu, keluarga mangsa bimbang mangsa-mangsa tersebut telah dibunuh.

Ahli keluarga berkenaan bagaimanapun tidak menyedari sebuah pasukan petugas khas telah ditubuhkan, susulan penahanan lebih 10 individu sejak sebulan lalu.

Antara yang ditahan termasuk seorang inspektor dan tiga konstabel, manakala individu lain adalah beberapa peniaga kecil-kecilan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah ‘Tiga Line’.

Walaupun sebahagian daripada mereka yang ditahan, telah dibebaskan dengan jaminan disebabkan kekurangan bukti, anggota polis yang disyaki itu masih berada dalam tahanan polis untuk membantu siasatan.

Sabtu lalu, lebih 50 anggota polis yang diketuai Ketua Unit Kumpulan Jenayah Terancang Bukit Aman, DSP Shan Gopal melancarkan Ops Cantas Khas di Jempol, Negeri Sembilan.

Operasi berkenaan telah mengejutkan penduduk setempat, kerana mereka tidak pernah melihat begitu banyak sekatan jalan raya, pemeriksaan di premis-premis, kenderaan dan tempat persembunyian yang disyaki, didijalankan serentak.

Lebih 100 individu disaring untuk disoal siasat dan sekurang-kurangnya 30 orang ditahan, selepas mereka dikesan mempunyai tatu-tatu yang ada kaitan dengan geng.

Serbuan itu turut membawa kepada rampasan pelbagai jenis senjata.

Seorang daripada mereka yang ditahan adalah warga asing yang mempunyai rekod berkaitan aktiviti narkotik, sementara yang lain didapati mempunyai rekod-rekod jenayah dan diburu polis selama ini.