Sabtu, 17 Oktober 2015

Senator desak Undang-Undang Rasuah dibawa ke Parlimen

 
Ia perlu bagi memperkasa SPRM dan mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah.


Abu-Zahar-Ujang_sprm_law_600


PETALING JAYA: Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) menggesa agar kerajaan segera meluluskan pembentukan syor penambah baikan undang-undang rasuah bagi memantau perjalanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang, berkata ia perlu bagi memperkasakan SPRM selain mewujudkan persekitaran yang bebas dari rasuah di negara ini.

“Meskipun beberapa syor dan cadangan telah dikemukakan untuk penambah baikan undang-undang pencegahan rasuah, tetapi sehingga kini masih belum dibawa ke Parlimen dan dilaksanakan.

“Ini tahun ketiga saya menjadi Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, kami telah mencadangkan perubahan-perubahan ke atas Akta SPRM 2009 bagi membawa penambah baikan demi memperkukuhkan SPRM.

“Namun, saya tidak pasti sama ada perubahan ini akan dibawa ke Parlimen pada sesi ini (yang akan bermula 19 Oktober 2015), tetapi saya berharap pindaan-pindaan yang telah disyorkan sebelum ini akan dibawa sebelum penggal saya sebagai ahli Dewan Negara berakhir April 2016,” kata Abu Zahar.

Mengulas lanjut, antara perkara yang disyorkan termasuk pembentukan satu Suruhanjaya Perkhidmatan Pencegahan Rasuah Malaysia, selain aspek pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM di bawah Perlembagaan Persekutuan, pindaan Seksyen 23 dan 36 Akta SPRM 2009.

“Saya juga berharap agar satu peruntukan liabiliti korporat dan salah laku penjawat awam dibentuk,” katanya lagi.

Ahli JKMR terdiri daripada Ahli Parlimen iaitu Tan Sri Abu Zahar; Dr. Tan Seng Giaw, Senator Datuk Doris Sophia Anak Brodi, Datuk Ir. Irmohizam Ibrahim, Datuk Fauzi Abd Rahman, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Datuk Noraini Ahmad.

Tiada ulasan: