"Pendirian saya tidak pernah berubah.
"Saya menyokong Sosma untuk menangani kesalahan-kesalahan keselamatan yang menggugat keamanan dan ketenteraman awam.
"Yang saya tidak bersetuju ialah penyalahgunaan Sosma yang bercanggah dengan tujuan asal akta ini digubal sepertimana yang berlaku dalam kes penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Matthias Chang," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Kata Muhyiddin lagi, pendiriannya selari dengan jaminan kerajaan ketika akta ini digubal bahawa ia tidak akan disalahgunakan untuk tujuan-tujuan lain, terutamanya yang bermotifkan politik, termasuk mendiamkan pengkritik dan menyekat kebebasan rakyat untuk bersuara serta memberikan pandangan.
"Tindakan mereka membuat laporan mengenai dakwaan salah laku 1MDB kepada pihak-pihak berkuasa dalam dan luar negara tidaklah boleh dikatakan sebagai satu tindakan sabotaj bawah Seksyen 124L Kanun Keseksaan, iaitu satu kesalahan keselamatan yang membolehkan penggunaan Sosma.
"Bukankah mereka sekadar melaksanakan tanggungjawab sebagai warganegara yang prihatin?" katanya merujuk kepada tindakan Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan dan peguamnya, Chang.
Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Umno juga mempersoalkan apakah 1MDB terlalu kebal sehinggakan pihak yang mengkritik dan membuat laporan terhadapnya didakwa di mahkamah.
"Seorang yang berfikiran waras pastinya akan bertanya siapakah yang sebenarnya mensabotaj sistem perbankan dan perkhidmatan kewangan negara?
"Orang yang membuat laporan kepada pihak berkuasa supaya menyiasat dakwaan salah laku 1MDB atau orang yang mengakibatkan berbillion ringgit wang rakyat dalam 1MDB lesap?
"Apakah pemimpin Umno harus berdiam diri dalam hal ini dan bersekongkol dengan para petualang?" katanya lagi.
Beliau menambah, Umno akan hanya dihormati rakyat jika pemimpinnya berani bangkit menentang penyelewengan dan perompakan harta negara oleh pihak-pihak tertentu.
Pada Selasa, Ketua Umno Bahagian Penampang, Datuk John Ambrose mendakwa Muhyiddin dan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdolak-dalik berhubung isu Sosma.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan