Sabtu, 17 Oktober 2015

Rakyat hanya percaya polis jika undang-undang dikuatkuasakan dengan adil, kata peguam



Polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalahgunakan. – Gambar fail The Malaysian Insider, 17 Oktober, 2015.Polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalahgunakan. – Gambar fail The Malaysian Insider.
.
 
Polis akan mendapati sukar untuk meyakinkan orang ramai yang Malaysia sedang diancam kumpulan pengganas Negara Islam Iraq dan Syria (Isis) selagi penguatkuasa undang-undang negara ini dilihat menyalahgunakan undang-undang, kata peguam hak sivil.

Mereka berkata, polis hanya akan mendapat kepercayaan orang ramai termasuk daripada ahli Parlimen pembangkang, jika mereka menguatkuasakan undang-undang secara bebas, telus dan adil.

Peguam Syahredzan Johan (gambar, kanan) berkata, kesalahan itu tidak semata-mata terletak di bahu pihak polis tetapi juga Parlimen kerana meluluskan undang-undang tanpa penelitian yang mencukupi.

"Sebagai penguatkuasa undang-undang, polis kini berdepan defisit amanah kerana undang-undang yang mengawal keganasan sedang disalah guna," katanya. 
 
Syahredzan berkata, beliau percaya Isis akan menjadi ancaman kepada keselamatan negara dan ketenteraman awam jika polis tidak mengambil langkah proaktif membendung pengaruh mereka.

Tetapi malang katanya, orang ramai mempunyai persepsi negatif terhadap polis, terutama dalam kes penangkapan dan penahanan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau Sosma.

Syahredzan berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ramai rakyat Malaysia termasuk beberapa penggubal undang-undang, masih tidak percaya kepada ancaman Isis.

"(Mereka fikir) ancaman Isis adalah sebahagian daripada drama kerajaan dan satu sandiwara," kata Khalid sambil menambah polis menjemput ahli Parlimen untuk satu sesi taklimat tertutup supaya lebih memahami perkara itu.

Katanya, Malaysia juga mempunyai undang-undang mencukupi untuk menangani keganasan termasuk Sosma dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota).

Khairuddin dan Chang didakwa cuba mensabotaj ekonomi Malaysia dan kewangan tetapi polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kesalahan keselamatan.

Pendakwa berhasrat menggunakan prosedur Sosma, bukan peruntukan dalam Akta Keterangan dan Kanun Tatacara Jenayah, untuk membuktikan kes mereka.

Kedua-duanya juga dinafikan ikat jamin dan kini ditahan di penjara.

Peguam Joshua Tay berkata, tidak dapat dibayangkan bagaimana tindakan kedua-dua individu itu, yang membuat laporan dengan agensi penyiasatan asing terhadap syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berkaitan dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah boleh dianggap mensabotaj sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tay berkata ia merupakan kes klasik di mana keyakinan orang ramai terhadap pasukan polis terus terhakis kerana undang-undang itu disalahgunakan atas sebab-sebab yang tidak diketahui.

"Tertuduh akan dinafikan perbicaraan yang adil apabila pendakwa bergantung kepada Sosma untuk membuktikan kes mereka," katanya.

Peguam SN Nair berkata, pasukan polis sejak 15 tahun lalu mencipta defisit amanah dalam fikiran orang ramai.

"Kuatkuasakan undang-undang secara saksama bagi memenangi hati dan minda rakyat, ia pasti menghasilkan keputusan yang baik," kata Nair, bekas pegawai polis yang juga pernah berkhidmat di Cawangan Khas.

Oleh itu, beliau berkata, perlu ada reformasi yang serius dan transformasi kepimpinan pasukan polis bagi memulihkan "kredibiliti yang baik seperti zaman dulu."


Tiada ulasan: