Rabu, 7 Oktober 2015

Polis siasat kenyataan Ali Tinju

 
Polis belum boleh mengklasifikasikan siasatan Ali Tinju mengikut seksyen tertentu kerana mahu meneliti isi kandungan kenyataannya terlebih dahulu 


ali-tinju-melaka_polis_600


PETALING JAYA:Polis sedang menyiasat kenyataan Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju yang mendakwa akan mengadakan perhimpunan di Melaka Raya pada Sabtu ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, beliau telah mengarahkan pegawai penyiasatnya untuk menyiasat video berkenaan yang disiarkan oleh sebuah laman portal.

Beliau berkata, pihaknya tidak ada menerima apa-apa permohonan untuk mendapatkan permit bagi mengadakan perhimpunan itu.

“Saya belum lagi lihat kenyataan Ali Tinju itu tetapi selepas dimaklumkan oleh pegawai saya mengenainya kita sedang lakukan siasatan.

“Buat masa ini kita belum boleh mengklasifikasikan siasatan ke atas perkara ini mengikut seksyen apa kerana mahu meneliti terlebih dahulu isi kandungan kenyataannya Ali Tinju itu,” katanya ketika dihubungi FMT.

Dalam pada itu Ghee Lye memberitahu, jika benar perhimpunan sebagaimana yang dirancang, ia bermakna penganjurnya tidak menghormati Yang DiPertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob kerana ia dibuat sehari selepas hari ulang tahun beliau.

Mengulas mengenai insiden serangan gengster Cina terhadap anggota Jabatan Imigresen yang menjadi alasan Ali Tinju untuk mengadakan bantahan itu, Ghee Lye berkata, pihaknya telah mengenal pasti beberapa suspek yang terlibat dalam kejadian berkenaan melalui kawad cam oleh anggota terbabit.

Katanya, kertas siasatan juga sedang disiapkan sepenuhnya sebelum dihantar ke pihak pendakwaaan di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: