Khamis, 22 Oktober 2015

Penyertaan PLKN 2.0 secara sukarela

PLKN
Hishammuddin dan Khairy Jamaluddin bersama alumni pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada majlis perasmian Makmal Tranformasi PLKN di Putrajaya. - Foto Bernama
 
 
KUALA LUMPUR - Penyertaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) secara sukarela dijangka dilaksanakan menjelang 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia dibuat berdasarkan sambutan menggalakkan yang diterima dalam projek perintis sekarang.

“Dalam projek perintis, 75 peratus pelatih adalah penyertaan secara sukarela oleh peserta melalui online,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

Menurutnya, kementerian sedang meyakinkan semua pihak termasuk ibu bapa, pelatih dan operator kem dalam usaha menjalankan penyertaan pelatih secara sukarela.

“Kita lakukan secara berperingkat dan saya percaya lama-kelamaan mereka akan yakin dan percaya dengan manfaat yang akan diperoleh dengan menyertai program ini. Ia mengambil masa,” katanya.

Projek Perintis Transformasi Program Khidmat Latihan Negara (PLKN) 2.0  yang diadakan di Kem Princess Haliza, Sepang bermula 17 Oktober lalu melibatkan 410 pelatih.

Pelatih projek itu diuji dengan  keberkesanan kedua-dua fasa dalam PLKN iaitu iaitu Fasa 1 Model Pembelajaran Bersepadu dan Fasa 2 Latihan Kemahiran.

PLKN dijadualkan dilaksanakan semula pada 18 Januari 2016 selepas ditangguhkan pada tahun ini.


[ARTIKEL BERKAITAN: PLKN 2.0 mula Januari, tak akan ditangguh]

Baru-baru ini, Hishammuddin mengumumkan PLKN 2.0 akan memperkenalkan lapan modul baharu, selain dilaksanakan dengan mengguna pakai konsep pengambilan secara sukarela.

Menjawab soalan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh), Hishammuddin berkata, landskap ekonomi semasa menjadi cabaran kementerian dalam mempertahankan pelaksanaan program PLKN 2.0.

Katanya, dalam mendepani cabaran itu, kementerian melaksanakan kerjasama rapat dengan 20 kementerian dan agensi lain untuk mendapatkan input yang boleh disalurkan kepada PLKN tanpa menjejaskan peruntukan induk kementerian dan agensi terbabit.

“Antaranya kita melihat apa-apa infrastruktur sedia ada di kementerian dan agensi untuk diguna pakai.

“Melalui kerjasama itu juga kita boleh memberi peluang kepada peserta PLKN yang tidak mendapat peluang ke institusi pengajian tinggi mengikuti pendidikan vokasional dan teknikal melalui institusi kemahiran di bawah kementerian yang mempunyai matlamat sama,” katanya.

“Saya percaya, PLKN 2.0 merupakan transformasi terbaik dan kita sedang melihatnya dengan konteks penjimatan dalam keadaan ekonomi hari ini,” katanya.

Tiada ulasan: