Khamis, 29 Oktober 2015

Penubuhan PH tak gopoh seperti yang didakwa Hadi - Amanah

Oleh Sharifah Azmawati Syed Aziz & Wan Anis Ilyani Wan Mohamed Azhar

 
Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini membidas semula kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan pembentukan Pakatan Harapan umpama 'bas ekspres'.
 
Ketua Wanitanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, pembentukan Pakatan Harapan tidak dibuat secara 'gopoh' sebaliknya mengambilkira semua aspek tambahan Pakatan Rakyat sudah lama tidak berfungsi semenjak setahun yang lalu.
 
"Sebenarnya sebagai parti pembangkang, kita perlu ada koalisi dan kita lihat apabila semua bekerjasama, keputusan dan sokongan rakyat itu lebih padu.
 
"Jadi Pakatan Rakyat orang kata sudah tidak berkira lebih daripada setahun semenjak krisis Menteri Besar Selangor.
 
"Jadi apabila kita membentuk Pakatan Harapan ini, bagi saya ia bukan ditubuhkan secara tergopoh, kerana dulu kita sudah ada satu Pakatan. Kita hanya hendak meneruskan kerjasama ini," katanya kepada Antarapos ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, hari ini.
 
Beliau mengulas Abdul Hadi yang menyifatkan pakatan tersebut umpama ‘bas ekspres’ yang tidak mungkin akan sampai ke destinasi sebenar.
 
Justeru tegas Hadi semalam, PAS tidak akan naik ‘bas’ tersebut kerana tidak mampu menjayakan matlamat perjuangan parti berkenaan.
 
Susulan kritikan Hadi itu, Mariah yang juga Ahli Parlimen Kota Raja itu berkata, pembentukan Pakatan Harapan turut mengundang parti Islam Se-Malaysia itu untuk bersama dalam pembentunkan pakatan baru.
 
Bagaimanapun katanya, disebabkan PAS terlalu cerewet dalam meletak syarat, akhirnya Pakatan Harapan hanya dibentuk dengan tiga gabungan parti (Amanah-PKR-DAP) sahaja.
 
"Jadi mana mungkin kita satu kegopohan sedangkan kita menjemput semua pihak untuk bersama, mungkin mula-mula Pakatan Harapan hanya ada tiga parti dulu, kemudian PAS sebenarnya sudah diajak oleh Ketua Pembangkang (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) untuk bersama tetapi mereka enggan bersama," katanya.
 
"Mereka ada syarat-syarat mereka, jadi dalam kita bekerjasama dalam negara maju ini, kita tidak boleh meletakkan terlalu cerewet dalam syarat-syarat supaya apa yang semua kita kehendaki diiukuti.
 
"Seperti dalam Pakatan Rakyat dulu, kita ada dasar-dasar yang kita persetujui dan ada perkara yang kita tidak persetujui, jadi kalau kita hendak orang menyokong dalam perkara yang tidak dipersetujui bersama. 
 
"Maka kita perlu berikan masa kepada mereka untuk berbincang dan mencari bagaimana jalan keluar dan bagaimanakah sebaiknya supaya Pakatan itu tidak berpecah," jelasnya lagi.
 
 

Tiada ulasan: