Jumaat, 16 Oktober 2015

Peniaga berang, wakil rakyat DAP jadi sasaran

Adrian Wong


 


Sepatutnya ia adalah satu kunjungan biasa, tetapi bertukar menjadi satu konfrontasi apabila sekumpulan wakil rakyat DAP terpaksa berdepan dengan para peniaga yang berang ketika mengunjungi bazar baru Deepavali di Sungai Way hari ini.

MP Petaling Jaya Utara, Tony Pua mengunjungi bazar baru itu bersama dengan ADUN Kampung Tunku, Lau Weng San, dan ADUN Kota Alam Shah, V Ganabathirao, yang juga exco kerajaan negeri Selangor.



Bagaimanapun, beberapa peniaga - yang berang kerana terpaksa berpindah ke tapak baru itu dari jalan bersebelahan - bersemuka dengan wakil rakyat itu dan ahli majlis tempatan yang mengiringi mereka, menuntut supaya isu itu diselesaikan.

Kumpulan itu juga didakwa melemparkan kata-kata kesat terhadap wakil rakyat DAP itu.
Ketika dihubungi, Pua mengecam mereka kerana menurutnya berkelakuan seperti samseng.

"Sesetengah daripada mereka adalah ahli PKR... Saya akan menulis surat aduan kepada menteri besar," katanya sambil menambah beliau yakin PKR tidak akan membiarkan tindakan seumpama itu.



Ketika dihubungi, Lau pula berkata peniaga tersebut berang mereka terpaksa berpindah dari tapak bazar lama di Jalan SS9A/13 ke Jalan SS9A/12 di Sungai Way.

Menurutnya, kata-kata kesat turut dilemparkan terhadap mereka.

Beliau menegaskan bahawa tapak lama berada di atas jalan yang sangat sempit, manakala lokasi baru itu bersebelahan dengan sebuah kuil Hindu dan sepatutnya dapat menarik pengunjung ke situ.

Pua berkata keputusan untuk memindah tapak bazar itu dibuat berdasarkan aduan mengenai kesesakan lalulintas. Lokasi baru, katanya, mempunyai lapan lagi gerai, menjadikan jumlah vendor kepada 26.

Di tapak baru itu, katanya, tidak ada orang tengah dan peniaga mendapatkan lesen secara terus dengan MBPJ, dengan membayar hanya RM95 bagi lesen untuk berniaga selama empat minggu.

Pihak berkuasa, katanya, tidak harus berganjak atau tunduk kepada ancaman dari samseng yang hanya cuba untuk mendapatkan pendapatan haram dari penjaja kaum India.

Apa yang berlaku hari ini, tegasnya, menjadi bukti taktik membuli mereka apabila mereka menghalang gerai dibuka di tapak baru.

Lau pula berkata, walaupun kejadian tersebut berlaku, namun keputusan majlis tempatan untuk memindahkan bazar tersebut kekal.

Tiada ulasan: