Jumaat, 23 Oktober 2015

Pengurus Petronas didakwa bocor maklumat

Petronas
 
 
SHAH ALAM - Seorang Pengurus Projek Petronas ICT Sdn Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam terhadap tiga pertuduhan menerima suapan RM31,880.70, dua tahun lalu.
 
Ali Amran Alias didakwa menerima suapan tersebut melalui cek Malayan Banking dan dua keping cek HSBC daripada Pengarah Urusan syarikat kontraktor, Ahmad Fauzan Hasim. 
 
Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk membocorkan maklumat sebut harga bagi melayakkan syarikat Nera Infocom terpilih sebagai kontraktor pemasangan sistem radio UHF Bintulu Crud Terminal di Petronas ICT Tanjung Kidurung Bintulu.
 
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Hong Leong Bank, Seksyen 15 Shah Alam pada 10 Oktober 2013, 14 Mac dan 9 Mei 2014.
 
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahamad Sukri Seman mengikut Seksyen 16 (a) (B) Akta SPRM 2009.
 
Mahamad Sukri menawarkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.
 
Ali, 41, yang tidak diwakili  peguam merayu mahkamah membenarkan jaminan rendah dengan alasan menanggung tiga anak dan isteri yang tidak bekerja.
 
Hakim, Sabariah Atan membenarkan jaminan RM21,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 November untuk sebutan.
 
 

Tiada ulasan: