Khamis, 22 Oktober 2015

Pengurus akaun didakwa keluar wang Pengasas D'Herb

SINAR HARIAN


Aliff Syukri
Aliff Syukri


KUALA LUMPUR - Seorang pengurus akaun hari ini didakwa atas tiga pertuduhan mengeluarkan wang tunai dari akaun bank milik pengasas produk kecantikan dan kesihatan D'Herbs, Datuk Aliff Syukri Kamarzaman.
  
Hasliani Hashim, 36, yang bekerja di syarikat itu, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali.
  
Wanita itu didakwa di Mahkamah Majistret Ampang mengeluarkan wang tunai melalui tiga transaksi menggunakan kad ATM Al Rajhi Bank milik Aliff Syukri, 28, berjumlah RM4,500, tanpa kuasa daripadanya.
  
Dia didakwa melakukan ketiga-tiga kesalahan itu di Mesin ATM Al Rajhi, Setia City Mall, Setia Alam, di sini pada pukul 2.27 petang, pukul 2.28 petang dan pukul 2.29 petang, 30 Julai lepas.
  
Bagi kesemua tuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene menawarkan wang jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan passport kepada mahkamah.
  
Peguam MK Thas yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan tertuduh mempunyai empat orang anak dengan yang bongsu masih menyusu badan.
  
"Penjamin juga adalah suami tertuduh dan beliau bersedia memastikan isterinya hadir ke mahkamah pada setiap kali sebutan dan sekiranya syarat tambahan perlu dipertimbangkan, saya percaya syarat ini boleh dijadikan faktor bagi mengurangkan wang jaminan," hujahnya.
  
Majistret Mohamad Firdaus membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan dua syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan menyerahkan passport kepada mahkamah sehingga kes itu selesai.
  
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes. - Bernama


Tiada ulasan: