Ahad, 25 Oktober 2015

Pengebumian empat murid Orang Asli dijangka petang ini

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
GUA MUSANG: Pengebumian empat murid Orang Asli yang meninggal dunia selepas hilang di dalam hutan di Kelantan, dijangka berlangsung petang ini di Kampung Penad.
 
Terdahulu keluarga keempat-empat mereka, Ika Ayel, 9; Haikal Yaacob, 8; Linda Rosli, 8; dan Juvina Daud, 7, tiba di Hospital Gua Musang pada 9 pagi bagi menuntut mayat anak masing-masing dari hospital.
 
Mereka memasuki rumah mayat itu untuk tujuan pengecaman terakhir sebelum menandatangani dokumen membawa keluar jenazah anak mereka.
 
Tidak lama kemudian, empat keranda putih dibawa keluar dan dimuatkan ke dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda.
 
Ika, Haikal, Linda dan Juvina dilaporkan hilang bersama tiga lagi rakan mereka iaitu Mirsudiar Aluj, 11, Norieen Yaacob, 10 dan Sasa Sobrie, 8, pada 23 Ogos selepas lari dari asrama sekolah mereka di Sekolah Kebangsaan Pos Tohoi.
 
Ketujuh-tujuh mereka berbuat demikian selepas dikatakan bimbang dikenakan hukuman oleh pihak sekolah ekoran mandi di sungai berhampiran tanpa kebenaran.
 
Dua daripada kumpulan murid itu, Mirsudiar dan Norieen akhirnya ditemui pada 9 Oktober dalam keadaan lemah dan kurus kering kerana kekurangan zat makanan.
 
Bagaimanapun, seorang lagi murid, Sasa, masih lagi belum ditemui sehingga kini.
 
Polis berkata, mereka menerima beberapa maklumat baru mengenai Sasa selepas menemu bual Norieen dan Mirsudiar yang masih menerima rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu.
 
 

Tiada ulasan: