KUALA LUMPUR,  Kenyataan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang mengatakan penahanan dan pendakwaan terhadap Datuk Seri Khairudin Abu Hasan dan Matthias Chang bukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebaliknya di bawah Seksyen 124L menunjukkan beliau keliru dengan bidang kuasa kedua-dua undang-undang berkenaan.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau hairan bagaimana Peguam Negara seperti Apandi tidak menyedari bahawa Seksyen 124L tu adalah Kesalahan Keselamatan yang tertakluk di bawah SOSMA.

Jelasnya, memang benar kedua-dua invidu berkenaan tidak didakwa di bawah SOSMA tetapi kesalahan yang didakwa itu adalah kesalahan yang berkaitan dengan SOSMA.

“SOSMA adalah akta prosedur bagaimana untuk menyiasat dan mendakwa apa apa kesalahan yang melibatkan kesalahan keselamatan. Mengikut Seksyen 3 SOSMA, ‘kesalahan keselamatan’ ertinya kesalahan sebagaimana yang dinyatakan dalam Jadual Pertama.

“Jadual Pertama SOSMA menyatakan bahawa kesalahan keselamatan ialah kesalahan yang terkandung di dalam Bahagian VI dan Bahagian VIA Kanun Keseksaan dan bahagian VI Kanun Keseksaan bermula dari Seksyen 121 sehingga Seksyen 130A. Seksyen 124L yang dituduh terhadap Khairuddin dan Matthias berada di Bahagian VI Kanun Keseksaan justeru ianya tertakluk kepada SOSMA,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah bekas Naib Presiden Pas itu lagi, SOSMA ialah suatu Akta berkaitan prosedur bagaimana hendak menangkap, menyiasat dan membicarakan kesalahan orang-orang yang disyaki melakukan kesalahan kegiatan keganasan. SOSMA bukan Akta Kesalahan.

Ujarnya, ia merupakan sebuah Akta Prosedur yang mana kesalahan melibatkan SOSMA diperuntukkan di dalam Kanun Keseksaan di Bahagian VI dan VIA.

“Justeru, saya minta Peguam Negara mohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kekeliruan beliau dan percubaan bodoh beliau untuk mengelirukan rakyat Malaysia atas isu ini.

“Saya juga meminta Peguam Negara membetulkan kembali kenyataan beliau dan membuat perakuan yang Khairudin dan Matthias didakwa di bawah Kanun Keseksaan yang membabitkan kesalahan di bawah SOSMA atas tuduhan kononnya cuba sabotaj Perbankan Malaysia dan sistem kewangan negara, dan memperakui yang Kerajaan telah menyalah guna kuasa di bawah SOSMA bagi melindungi Perdana Menteri,” tegasnya.

Semalam, Apandi memperjelaskan bahawa Khairuddin dan Chang didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan bukannya Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Katanya, SOSMA adalah prosedur undang-undang yang memperuntukkan langkah khas bagi mempermudahkan siasatan dan pendakwaan berhubung ‘kesalahan-kesalahan keselamatan.’

“Definisi ‘kesalahan-kesalahan keselamatan’ adalah jelas bahawa SOSMA tidak terhad kepada keganasan atau pengganas,” katanya.

Mohamed Apandi berkata ‘kesalahan-kesalahan keselamatan’ yang terpakai dalam Akta itu adalah seperti yang disenaraikan dalam Jadual Pertama SOSMA.