Jumaat, 16 Oktober 2015

Peguam Negara didakwa salahkan Bank Negara

1MDB
1MDB
 
 
SHAH ALAM – Pas mendakwa nasib sesetengah pihak sudah berubah gara-gara “menyentuh” isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baik dalam kalangan pemimpin politik mahupun pihak berkuasa yang menyiasat skandal kewangan berjumlah RM42 bilion itu.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebaliknya nasib syarikat pelaburan nasional itu dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat masih teguh susulan Peguam Negara didakwa sukar “menghidu” masalah yang dihadapi 1MDB kini.

“Ternyata hidung Peguam Negara tidak sesensitif hidung Majlis Raja-raja yang turut menggesa agar krisis 1MDB diselesaikan dengan cepat.

“Yang hebatnya ialah sehingga kini, 1MDB masih tidak perlu berdepan dengan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan Perdana Menteri pula belum disoal oleh polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Majlis Raja-raja Melayu mahu kerajaan menyelesaikan secepat mungkin siasatan berkaitan dengan 1MDB dan mengambil tindakan tegas yang sewajarnya terhadap pihak-pihak yang terlibat.

Dalam satu kenyataan pada minggu lalu, baginda sekalian menegaskan semua pihak bertanggungjawab untuk memberi kerjasama yang sebenar dan jujur agar usaha serta maksud siasatan tersebut berjaya.

Dalam pada itu, Pas juga kesal apabila kesalahan pihak tertentu yang meminjam dana berbilion ringgit itu kini diletakkan kepada pihak lain.

“Pihak yang meminjam duit merata-rata sehingga hutangnya menggerunkan kini tidak lagi dipersalahkan. Itulah yang sedang berlaku apabila Jabatan Peguam Negara meletakkan Bank Negara Malaysia sebagai pihak yang cuai di dalam krisis 1MDB.

“Apakah Peguam Negara tidak dapat menghidu bahawa 1MDB ini bermasalah?” soalnya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim mengulangi pendirian parti Islam itu bahawa pihaknya tidak akan menjalinkan kerjasama politik dengan NGO yang bersentimen perkauman.

“Jika ada NGO cuba mengapi-api dan melaga-lagakan kaum dan agama, Pas adalah musuhnya yang pertama kerana Islam menegah perkara ini dengan jelas.

“Pas akan menjadi benteng pertama menghalang NGO tersebut daripada merosakkan keharmonian kaum dengan politik perkauman yang melampau,” katanya lagi.


Tiada ulasan: