Jumaat, 16 Oktober 2015

Pegawai polis ditangkap bersama dengan geng 36

SINAR HARIAN



Jaafar Mohd Yusof
Jaafar Mohd Yusof


SEREMBAN - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri Sembilan menahan enam lelaki yang merupakan anggota Kongsi Gelap Geng 36 dan seorang pegawai kanan polis negeri ini, berkaitan kes pengedaran dadah berbahaya di sekitar bandar ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Jaafar Mohd Yusof berkata, polis turut menyita harta suspek bernilai RM474,417.64 iaitu tujuh lori, enam kereta, dua motosikal, wang tunai dan wang di dalam akaun bank.

"Kesemua yang ditahan berusia antara 33 dan 46 tahun dan suspek ditahan untuk siasatan selama 60 hari di bawah Seksyen 3(1) Akta dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985 kerana penglibatan dalam kegiatan pengedaran dadah berbahaya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jaafar berkata, siasatan dijalankan bermula 21 September hingga 6 Oktober yang lepas dan kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri tangkapan di sekitar bandar ini.

"Enam daripada suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah lampau berkait dengan kesalahan dadah seperti penagihan, pemilikan dan pengedaran serta jenayah. 

"Hasil siasatan mendapati kumpulan ini menjalankan kegiatan pengedaran dadah jenis syabu di kawasan Seremban lebih kurang setahun dan bekalan dadah tersebut diperoleh sekitar Lembah Klang," katanya.

Jaafar berkata, penyitaan harta suspek dibuat mengikut peruntukan Seksyen 4 Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.

Beliau berkata siasatan masih lagi giat dijalankan bagi mengesan lain-lain harta kumpulan ini yang ada hubung kait dengan hasil kegiatan pengedaran dadah mereka.

"Penyitaan harta kumpulan ini memberi mesej yang jelas dan amaran kepada pengedar dadah bahawa segala kekayaan yang diperoleh melalui kegiatan salah tersebut akan disiasat, disita dan dilucutkan hak menurut peruntukan undang-undang," kata Jaafar. - Bernama


Tiada ulasan: