Jumaat, 16 Oktober 2015

Pampasan MH17 naik taraf madrasah

Pampasan MH17 naik taraf madrasah
Mustafa memegang potret Mastura yang masih disimpannya.


SEREMBAN - “Saya reda, itu bahagian dia. Apa lagi saya nak persoalkan,” kata Mustafa Abdul Samad, 84, bapa kepada pramugari MAS pesawat MH17 yang ditembak jatuh di sempadan Ukraine - Rusia, tahun lalu.

Menurut Mustafa, sehingga kini, kehilangan anak bongsunya, Mastura Mustafa masih dirasai kerana selama ini Allahyarham tinggal bersama dengannya.

“Terasa jugalah kehilangan dia sebab dulu ke mana-mana arwah bawa saya dan dia uruskan semuanya.

“Tapi sekarang saya kena buat sendiri. Kalau dulu arwah ada, dia yang masak. Sekarang saya hanya masak nasi dan beli lauk sendiri di luar," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sentosa, Paroi, di sini, kelmarin.

Mustafa berkata, dia tidak mengharapkan apa-apa melainkan mahu Allahyarham tenang ‘di sana’.

“Lagipun pampasan pun dah dapat, apa lagi kita nak persoalkan. Sekarang ini saya hanya fikir mahu perbanyakkan amal jariah. Duit pampasan itu pun saya ada gunakan untuk naik taraf Madrasah Al-Ma’mum Blok A, Kampung Sentosa di sini," katanya.

Menurutnya, dia sentiasa mengikuti perkembangan berita mengenai tragedi MH17 dan masih menyimpan setiap keratan akhbar mengenai kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, hatinya sedikit terubat apabila anak-anak lain dan cucu sering datang ke rumah menjenguknya.

“Anak arwah (Muhriz Marzaini, 11) selalu telefon saya. Kadang-kadang saya pun telefon dia tanya khabar. Dia nampak gembira tinggal bersama ayahnya di Ipoh,” katanya.


Tiada ulasan: