Jumaat, 23 Oktober 2015

Pakatan terdesak dakwa ahli Parlimen BN sokong usul undi tidak percaya

Oleh Muhammad Asyraf Azlan & Syarifah Azmawati Abdul Aziz
 
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yakin Pakatan Harapan (PH) tiada sokongan majoriti untuk menjayakan usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail terpaksa mendakwa sedemikian untuk menimbulkan rasa gusar dan bimbang di kalangan ahli Parlimen.
 
Ahli Parlimen Lenggong itu yakin, tiada wakil rakyat BN yang menyokong usul yang dikemukakan sebagaimana yang dicanang Azizah, hari ini.
 
"Saya percaya itu sebahagaian daripada provokasi yang cuba dibuat oleh Datuk Seri Dr. Wan Azizah untuk menghidupkan usul yang kononnya akan dibuat oleh beliau pada sidang ini.
 
"Dari segi peraturannya sudah jelas bahawa usul itu sebenarnya tidak menepati aturan yang ditetapkan kerana sepatutnya sebarang usul dibawa mesti di kemukakan 14 hari sebelum sidang bermula bukannya waktu sidang," katanya ketika ditemui Antarapos di lobi parlimen.
 
Shamsul kemudiannya mencabar pembangkang untuk mendedahkan siapakah Ahli Parlimen BN yang menyokong usul berkenaan.
 
"Kalau betul dan benar sebagaimana yang dia sebut, saya hendak sebut kepada Wan Azizah bahawa usul itu tidak mungkin boleh dibentangkan dalam dewan kerana ia menyalahi peraturan jadi kalau ia tidak boleh dibentangkan dewan saya cabar Wan Azizah dedahkan siapa yang dia maksudkan," katanya.
 
Menurut Shamsul lagi, pembangkang terdesak untuk menampakkan betapa pentingnya usul kepada rakyat.
 
"Itu strategi beliau sahaja, dia kena ingat kita Barisan Nasional juga ada strategi kita tapi yang penting saya cukup yakin bahawa usul itu tidak akan dapat dibawa kerana ia menyalahi peraturan sidang dewan.
 
"Beliau sedar bahawa usulnya jika tidak diwar-warkan tidak dipublisitikan dia akan dilihat tenggelam begitu sahaja sebab itu saya percaya antara langkah dan tindakan yang cuba beliau buat untuk menunjukkan kepada rakyat bahawa usul ini penting dan mendapat sokongan. 
 
"Maka dia membuat spekulasi kononnya beberapa orang ahli parliman Barisan Nasional akan menyokong usul tersebut saya masih lagi percaya bahawa tidak ada ahli parlimen Barisan Nasional yang akan mengikut usul tersebut kerana perinsip kita sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional kita ada kaedah dan cara bagaimana untuk kita menentu dan melaksanakan tanggungjawab sebagai ahli parti," jelasnya.
 
Shamsul juga memberi jaminan sokongan ahli Parlimen Sabah dan Sarawak terhadap kerajaan kuat berbanding sebelum ini. 
 
"Perdana Menteri ketika ini dan sebelum ini mengambil perhatian begitu berat kepada soal kebajikkan rakyat dan sebagainya ia dengan sendirinya memberikan kelebihan kepada Perdana Menteri dengan sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli parlimen ini begitu tinggi.
 
"Saya yakin apa yang dinyatakan oleh Wan Azizah hanya propaganda kononnya usul ini mendapat sokongan dan saya yakin ini tidak akan berlaku," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: