Sabtu, 24 Oktober 2015

Pakar ekonomi persoal mana agenda negara berpendapatan tinggi dalam Bajet 2016




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam menyampaikan ucapan beliau membentangkan Bajet 2016 semalam secara tidak sengaja mendedahkan negara belum berada di landasan yang betul untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 24 Oktober, 2015.Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam menyampaikan ucapan beliau membentangkan Bajet 2016 semalam secara tidak sengaja mendedahkan negara belum berada di landasan yang betul untuk menjadi negara berpendapatan tinggi. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari.
 
 
Pakar ekonomi menjangkakan lebih banyak yang boleh diperolehi dari Bajet 2016 yang sepatutnya melonjakkan Malaysia ke arah status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh lima tahun lagi. 
 
Penganalisis ekonomi Dr Muhammad Abdul Khalid berpandangan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara tidak sengaja mendedahkan dalam ucapannya semalam, negara ini belum sepenuhnya berada di landasan yang betul untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dalam tempoh empat tahun.

"Menurut Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan (Pemandu), Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) perlu berkembang sebanyak 6% setiap tahun untuk Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi, tetapi Najib berkata KDNK hanya akan tumbuh antara 4% dan 5% pada 2016.

"Malah tahun ini, KDNK dijangka berkembang antara 4.5% dan 5.5%, bukan 6%," kata Muhammad kepada The Malaysian Insider. Katanya, Najib yang juga menteri kewangan, juga tidak menangani hakikat yang penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS akan lebih menyukarkan negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Beliau menjelaskan, sebuah negara berpendapatan tinggi memerlukan KDNK per kapita pada AS$15,000, tetapi dengan ringgit yang lemah, Malaysia tersasar sebanyak 17% "hanya dengan tidak melakukan apa-apa".

Upah rendah dan tenaga kerja asing
 
  Kebergantungan kepada pekerja asing dalam negara dikatakan pakar ekonomi sedang membantutkan transformasi struktur Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2015. 
 
Kebergantungan kepada pekerja asing dalam negara dikatakan pakar ekonomi sedang membantutkan transformasi struktur Malaysia. – Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 24 Oktober, 2015.
 
Pengarah Eksekutif Institut Rakyat Yin Shao Loong berkata, "pelan gambaran besar" Najib adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaan sektor swasta dan penggunaan domestik, namun tidak banyak yang dilakukan bagi meningkatkan gaji dan dengan itu menggalakkan perbelanjaan. 
Pertumbuhan gaji dalam sektor pembuatan kini lembap, kata Yin, sambil menambah, ia bergantung kepada gaji sektor perkhidmatan dan merupakan petunjuk yang baik bagi pertumbuhan gaji secara umum.

"Oleh itu, apabila gaji rakyat tidak mengatasi inflasi, maka orang ramai tidak akan selesa dari segi ekonomi untuk berbelanja lebih. Jadi, di mana mereka akan mendapatkan wang untuk berbelanja?

"Saya meramalkan, lebih ramai orang akan membuat pinjaman dan mengambil hutang bagi membiayai penggunaan mereka," katanya kepada The Malaysian Insider.

Yin berkata Najib tidak meletakkan banyak usaha dalam membangunkan sektor pembuatan supaya ia boleh lebih memberi nilai, membuat produk yang lebih baik, meningkatkan eksport dan meningkatkan gaji.

Malah, Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dalam responsnya kepada Bajet 2016 berkata, lebih banyak sepatutnya boleh dilakukan untuk merangsang sektor ini ke arah "nilai tinggi dan insentif pembuatan berteknologi tinggi".

Kali terakhir sektor ini mendapat manfaat daripada insentif besar adalah pada 2008, kata FMM dalam satu kenyataan semalam.

Ahli ekonomi Dr Yeah Kim Leng berkata, beliau meminta kerajaan menangani kebergantungan negara yang tinggi kepada pekerja asing, yang menurutnya "membantutkan transformasi struktur Malaysia".

"Apa yang diperlukan ialah bagaimana mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Implikasi negatif dari buruh asing yang murah boleh memperlahankan transformasi struktur kita," katanya kepada The Malaysian Insider.

Muhammad menyokong kebimbangan Yeah mengenai isu pekerja asing, dan menambah, kerajaan perlu meletakkan keseluruhan perkara itu di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan bukannya Kementerian Dalam Negeri.

"Sekurang-kurangnya, Kementerian Sumber Manusia tahu industri mana yang memerlukan pekerja asing, dan berapa ramai," katanya.

Peluang yang terlepas
 
Muhammad turut menyentuh beberapa peluang lain yang disifatkannya terlepas untuk ditambahbaik, seperti memastikan sektor swasta menyediakan insurans pengangguran bagi pekerja, yang katanya tidak akan memakan belanja satu sen pun.

Beliau juga menyatakan, walaupun kerajaan menambah baucar tunai di bawah Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), ia gagal memperbaiki program tersebut.

Sebagai contoh, katanya, kerajaan boleh menetapkan penerima BR1M bagi setiap isi rumah adalah ibu, dan bukannya "ketua isi rumah", yang biasanya terdiri daripada bapa.

"Ibu-ibu lebih berkecenderungan untuk membelanjakan bantuan wang tunai untuk pendidikan, barangan runcit dan perkara praktikal yang lain. Kajian menunjukkan, campur tangan sebegini berkesan di negara lain.

"Kerajaan boleh juga meletakkan syarat untuk BR1M, seperti memastikan anak-anak penerima menghadiri kelas atau pemeriksaan kesihatan. Akhirnya, kita mahu rakyat berhenti menerima BR1M," katanya.

Para ekonomi memuji langkah Najib menambah bilangan barangan makanan dan perubatan berkadar sifar di bawah cukai barangan dan perkhidmatan (GST), tetapi Muhammad berkata kerajaan sepatutnya memasukkan semua ubat-ubatan dan perkhidmatan penjagaan kesihatan dalam senarai itu.

"Akhirnya, tidak ada apa yang tidak dijangka daripada bajet ini. Semuanya adalah untuk merealisasikan Rancangan Malaysia ke-11," kata Muhammad.

Tetapi, Yeah berkata, bajet itu menyatakan perbelanjaan kerajaan kekal di landasan yang betul, seperti yang ditunjukkan melalui hasil daripada GST yang lebih tinggi dari jangkaan dan komitmen untuk mengurangkan defisit fiskal.

Beliau berkata, bajet itu juga menepati janji Najib untuk transformasi, dan menunjukkan kepada peruntukan yang tinggi untuk penyelidikan dan pembangunan serta latihan vokasional dan pendidikan.

"Ini selaras dengan aspirasi jangka panjang," kata Yeah.


Tiada ulasan: