PUTRAJAYA,  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sememangnya mempunyai perancangan melantik Ketua Pengarah atau Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam kalangan Orang Asli, kata menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


Pelantikan mereka bagaimanapun tertakluk kepada gred perkhidmatan, seperti ditetapkan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), katanya mengulas saranan agar Ketua Pengarah Jakoa dilantik dalam kalangan Orang Asli yang dirasakan lebih memahami kehendak masyarakat itu.

“Mengikut amalan normal, ketua pengarah adalah Jusa C, tetapi jika KPPA rasakan perlu untuk melantik ketua pengarah daripada Orang Asli dan naikkan gred daripada 48 ke Jusa C, kementerian tiada halangan,” katanya selepas majlis konvokesyen Universiti Kuala Lumpur (UniKL) ke-12, semalam.

Ismail Sabri berkata, pegawai Orang Asli di Jakoa yang mempunyai gred tertinggi, iaitu Gred 48 telah dihantar melanjutkan pelajaran di luar negara, atas tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA), bagi mempercepatkan proses kenaikan pangkat.

Pada majlis itu, Ismail Sabri turut dimahsyurkan sebagai Pro-Canselor UniKL oleh Tuanku Canselor, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.

Dalam ucapannya pada pemahsyuran itu, beliau berkata, UniKL akan membangunkan lebih banyak kampus cawangan bagi mencapai sasaran pengambilan 50,000 pelajar di universiti itu menjelang 2020.