Selasa, 27 Oktober 2015

Najib hanya pentingkan undi Sabah, Sarawak

Najib hanya pentingkan undi Sabah, Sarawak
Rafizi Ramli (tengah) pada Forum Belanjawan 2016 bertajuk Mencetus atau Mengurus Krisis di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall, Kuala Lumpur, malam tadi. Foto Sinar Online oleh NIZAM ZAIN.
 
 
KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan kepimpinannya didakwa tidak lagi mengambil berat tentang undi rakyat di Semenanjung Malaysia berbanding Sabah dan Sarawak susulan “menganaktirikan” pembinaan lebuh raya tanpa tol di kepulauan Borneo itu sahaja.

Demikian kata Ahli Parlimen (PKR-Pandan), Rafizi Ramli sambil menegaskan pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang diumumkan setiap kali pembentangan Belanjawan negara membuktikan alasan kerajaan yang memerlukan konsesi swasta untuk membina lebuh raya adalah tidak berasas.

“Jadi hujah mereka sebelum ini bahawa kerajaan memerlukan konsesi secara swasta untuk membina lebuhraya tidak lagi boleh dipakai kerana mereka sendiri umumkan, jika dia boleh bina Pan Borneo, malah lebih panjang dari Plus, tanpa tol, sudah tentu dia boleh lakukan itu, jika dia mahu.

“Malangnya Najib tidak fikir tentang sokongan rakyat di Semenanjung tidak lagi penting berbanding dengan undi Borneo. Sebab itu Pan Borneo tiada tol dan di Semananjung ada tol,” katanya pada Forum Belanjawan 2016 bertajuk Mencetus atau Mengurus Krisis di Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall, di sini, malam tadi.

Beliau mengulas Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri pada Jumaat lalu bahawa Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer dijangka siap pada 2021 dengan anggaran kos RM16.1 bilion.

Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi satu-satunya lebuh raya bebas tol di negara ini yang mendapat kritikan hebat di Semenanjung terutamanya selepas pengumuman kenaikan kadar tol baru-baru ini.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, pengumuman kerajaan bahawa Lebuhraya Pan Borneo itu bebas tol membuktikan pentadbiran Najib mampu membina lebuh raya tanpa memerlukan konsesi swasta.

“Najib sudah umumkan bahawa Lebuhraya Pan Borneo tiada tol, ini bermakna dia boleh bina lebuh raya tanpa tol.

“Saya tidak fikir Najib tidak faham, apabila dia mengumumkan bahawa Lebuhraya Pan Borneo itu tanpa tol, maknanya rakyat Malaysia yang buka mata dan sedar boleh faham sebenarnya boleh bina lebuh raya di negara ini tanpa tol,” katanya lagi.


Tiada ulasan: