KUALA LUMPUR,  Portal berita TV14 semalam melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak telah mengarahkan peguam beliau supaya menuntut bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik memohon maaf, berhubung kenyataannya yang didakwa meminta Najib melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

Kenyataan Dr Ling itu didakwa disiarkan dalam sebuah portal berita berbahasa Inggeris tiga hari lalu.

Menurut portal berita TV14, surat berhubung tuntutan itu yang diserahkan terus kepada Dr Ling semalam, dikeluarkan Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak bagi pihak Najib, dalam kapasiti peribadi beliau dan antara lain menuntut Dr Ling memohon maaf dalam masa tujuh hari, selepas menerima surat berkenaan.

Sekiranya gagal berbuat demikian, tindakan undang-undang bakal diambil terhadap bekas Menteri Pengangkutan itu, kata portal berita berkenaan.

Menurut TV14, peguam, Datuk Hafarizam Harun yang mewakili firma guaman itu, dalam suratnya kepada Dr Ling menyatakan, kenyataan yang didakwa dibuat olehnya adalah satu fitnah dan merosakkan reputasi Perdana Menteri, selain mempunyai kecenderungan untuk merendahkan Najib dalam pemikiran masyarakat.

Portal itu menyatakan, Hafarizam juga menuntut Dr Ling menarik balik kenyataan itu, membuat permohonan maaf tidak berbelah bahagi serta membayar pampasan munasabah, ekoran kenyataan fitnah itu.