Rabu, 14 Oktober 2015

Naik tol: Kerajaan jangan perlekeh rakyat

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR - Kerajaan Umno BN memperlekehkan rakyat apabila menyatakan tol dinaikkan bagi memberi kemudahan termasuk membina sekolah dan hospital, kata Naib Presiden KEADILAN, Dr Xavier Jeyakumar.

Katanya, alasan itu tidak munasabah kerana kemudahan seumpama itu masih kurang khususnya di kawasan pedalaman, meskipun kerajaan seringkali menaikkan kadar tol . Sebaliknya beliau percaya kenaikan terbaharu ini bertujuan untuk menampung hutang syarikat pelaburan, 1MDB yang semakin tenat.

“Itu cuma penipuan dan alasan kerajaan untuk kutip lagi lebih banyak duit rakyat bagi membayar kadar faedah dan hutang-hutang 1MDB.

“Sedangkan kalau betul nak sediakan kebajikan kepada rakyat, kenapa masih banyak lagi kemudahan yang sehingga kini tidak tersedia dengan baiknya kepada rakyat?

“Mereka yang duduk di kawasan pinggir bandar masih memerlukan banyak lagi kemudahan seperti sekolah, klinik dan lain-lain lagi,” katanya ketika dihubungi.

Lebih mengecewakan katanya, terlalu banyak projek-projek rakyat gagal disiapkan sepertimana dijanjikan pada Pilihan raya umum lalu.

“Mana hasil daripada bebanan yang kerajaan letak di bahu rakyat hasil daripada pengenalan cukai-cukai GST, penarikan subsidi dan harga tol yang naik itu?” soalnya.

Kementerian Kerja Raya sebelum ini menyatakan kenaikan drastik yang bermula Khamis ini dibuat selepas kerajaan menghentikan pembayaran pampasan kepada syarikat konsesi. Keuntungan daripada kenaikan itu juga akan disalurkan kepada rakyat melalui pembinaan-pembinaan projek infrastruktur.

Bagaimanapun Adun Seri Andalas itu berkata, kenaikan tol tidak selaras dengan manifesto pilihan raya BN kononnya tiada sebarang kenaikan harga tol antara bandar.

“Inilah penipuan yang langsung tidak boleh diterima. Tetapi yang lebih jelas lagi kadar kenaikan ini akan terus membebankan berjuta-juta pengguna plaza tol di Malaysia,” jelasnya.

Tiada ulasan: