Selasa, 13 Oktober 2015

Naik tol: Kerajaan boleh pilih memihak pada rakyat

tol


SHAH ALAM - Pas menggesa syarikat konsesi tol memberi rebat kepada pengguna lebuh raya yang terpaksa membuat pembayaran awal melalui sistem SmartTag dan TouchNGo untuk meringankan beban akibat kenaikan kadar tol bermula 15 Oktober ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendakwa kenaikan kadar tol yang tidak memberi faedah kembali kepada rakyat boleh diringankan dengan pemberian rebat tersebut.

"Malah beban bertambah kepada pengguna lebuh raya kerana TouchNGo adalah jenis perniagaan pembayaran awal ‘advance payment’.

"Bayangkan ratusan ribu diperoleh melalui pembayaran awal ini namun pelanggan tidak memperoleh sebarang manfaat daripada sistem tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Kenaikan tol menyesakkan golongan pekerja]

Beliau mengulas pengumuman kerajaan semalam berhubung kenaikan kadar tol baharu bermula 15 Oktober ini.

Peratusan kenaikan bayaran tol kali ini menyaksikan kenaikan sehingga 80 peratus melibatkan SILK, 67 peratus bagi Akleh, 54 peratus bagi Besraya, 50 peratus bagi LKSA dan Smart, manakala 10 lebuhraya lain menyaksikan kenaikan antara 17 hingga 44 peratus.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim juga membidas sikap kerajaan yang tidak memihak kepada rakyat susulan kenaikan kos sara hidup dan bebanan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang bermula April lalu.

"Sebenarnya kerajaan sendiri mempunyai banyak saham pegangan di dalam syarikat konsesi ini. Dengan memiliki kelebihan itu, kerajaan masih memilih untuk tidak memihak kepada rakyat.

"Inilah hasil kerajaan BN yang sering mengingatkan rakyat sentiasa didahulukan, terutamanya apabila melihat keputusan mengambil duit daripada rakyat," katanya lagi.


Tiada ulasan: