Ahad, 25 Oktober 2015

Muhyiddin dedah rahsia 1MDB

 
Kerajaan pernah mohon suntikan dana RM3 bilion untuk 1MDB tetapi ditolak Jemaah Menteri dan hanya meluluskan RM950 juta.


muhyiddin_1mdb_2_600


PETALING JAYA: Bekas Timbalan Perdana Menteri yang dipecat, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan kerajaan pernah cuba meluluskan suntikan dana sebanyak RM3 bilion kepada 1MDB.

Katanya, cadangan itu bagaimanapun ditolak oleh Jemaah Menteri kerana 1MDB ketika itu baharu sahaja menerima pinjaman daripada jutawan T. Ananda Krishnan sebanyak RM2 bilion.

Katanya, Jemaah Menteri hanya bersetuju 1MDB diberikan suntikan modal berjumlah RM950 juta.

“Saya akui satu kertas kerja pernah dibuat kepada Kabinet bagi membuat permohonan untuk meminjam RM3 bilion untuk 1MDB…. Walhal baru membuat pinjaman RM2 bilion dari T Anandha Krishnan.

“Berapa bilion nak pinjam ini…. Ini satu masalah besar…nak pinjam mampu ke nak bayar balik?

“Jadi pinjam atas pinjam, berniaga apa ini?,” katanya dalam satu Program Bicara Minda: Berani kerana benar di Johor Bahru yang disiarkan secara langsung di Sinar TV.

Muhyiddin berkata, setiap pinjaman yang dipinjam dari bank oleh 1MDB akan menjadi beban kepada kerajaan dangenerasi akan datang.

“Ini serius. Setiap pinjaman dari bank akan jadi beban kerajaan. Dan kita terbeban kepada rakyat, anak cucu kita, yang akan menanggungnya kalau tidak diselesaikan,

“Saya tidak pernah doakan 1MDB ini jatuh kerana kalau 1MDB jatuh..kita semua akan jatuh,” jelasnya.
Muhyiddin turut mendedahkan bahawa beliau pernah menasihatkan supaya kerajaan memecat mana-mana pegawai 1MDB yang gagal melaksanakan tugas sehingga menyusahkan kerajaan.

“Saya cakap dengan Perdana Menteri, kalau 1MDB ini beri masalah, buang mereka. Sampai hari ini mereka tidak dibuang, saya yang kena buang,” katanya.

Muhyiddin mendakwa beliau turut menasihatkan Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak lagi menjadi Penasihat kepada 1MDB kerana sekiranya salah laku dikesan dalam transaksi syarikat itu, Perdana Menteri akan turut menerima kesannya.

Bagaimanapun nasihat itu tidak diterima sebaliknya beliau yang ditendang kerana menegur 1MDB.
“Saya cakap dengan Perdana Menteri, kalau 1MDB ini beri masalah, buang mereka. Sampai hari ini mereka tidak dibuang, saya yang kena buang,” katanya.

Tiada ulasan: