KUALA LUMPUR: Penyandang jawatan Ketua Pemuda, C. Sivarraajh dan Ketua
Wanita, M. Mohana mempertahankan jawatan masing-masing bagi penggal
2013-2016 setelah diumumkan menang tanpa bertanding hari ini.
Kedua-dua penyandang jawatan itu menang berikutan tiada sebarang pencalonan lain dikemukakan jawatan tersebut.
Keputusan itu diumumkan Pegawai Jawatankuasa Pemilihan Datuk S.S.
Rajagopal selepas proses pencalonan selama dua jam di ibu pejabat parti
itu di sini, ditutup 1 tengah hari.
Pada pemilihan lepas yang diadakan pada 2013, Sivarraajh mengalahkan V.
Mugilan dalam pertandingan satu lawan bagi penggal 2013-2016 yang
menggantikan Datuk T. Mohan yang tidak pertahankan jawatannya.
Mohana pula menewaskan M. Vickneswari, selaku setiausaha Pergerakan
Wanita, selepas Datin Komala Devi yang juga tidak mempertahankan jawatan
tersebut.
Bagaimanapun, Pendaftar Pertubuhan (RoS) mengarahkan parti itu
mengadakan pemilihan semula selepas membatalkan pemilihan pada November
2013 berikutan terdapat penyelewengan dalam proses pemilihan itu.
Sementara itu, M. Uvaraj turut menang tanpa bertanding bagi jawatan
Ketua Putera bagi menggantikan penyandangnya K. Raven Kumar yang tidak
mempertahankan jawatan itu manakala R.Gunasundari mengekalkan jawatan
selaku Ketua Puteri parti itu yang juga menang tanpa bertanding.
Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam turut hadir pada penamaan calon tersebut.
Semua jawatankuasa bagi keempat-empat sayap itu juga tidak menyaksikan
sebarang pertandingan kecuali bagi 35 perwakilan Pemuda kebangsaan yang
akan dipilih pada 18 Okt ini.
Pemilihan semula bagi semua jawatan itu diadakan atas arahan RoS yang
memberikan tempoh sehingga akhir Oktober bagi melaksanakan semula proses
pemilihan semula parti.
Setakat ini, MIC selesai mengadakan pemilihan di peringkat cawangan
pada Julai lalu manakala peringkat bahagian pada bulan lepas. Semasa
pemilihan presiden pada 21 Ogos, Dr Subramaniam menang tanpa bertanding
bagi jawatan presiden bagi penggal 2013-2016.
Parti berusia 68 tahun itu mula dilanda krisis apabila wujud perbezaan
pendapat antara bekas Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel dan Dr
Subramaniam selepas RoS mengeluarkan notis pada 5 Dis tahun lepas yang
mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan baharu bagi tiga kerusi naib
presiden dan 23 kerusi Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC).
Sivarraajh ketika ditemui pemberita berkata beliau yakin sayap Pemuda
parti itu akan lebih komited untuk membawa anggota MIC baharu di bawah
kepimpinan Dr Subramaniam.
"Selain itu, kami akan turun padang untuk menjayakan visi dan misi
parti sekali gus bekerja kuat untuk meraih sokongan masyarakat India
dalam pilihan raya umum akan datang," katanya.
Mohana pula berjanji akan terus berjuang bagi pihak wanita selain
memperkasakan sokongan akar umbi terhadap parti kaum India itu.
Pencalonan untuk kesemua 23 jawatan bagi CWC pula dijadualkan pada 25
Okt dan pemilihan semula akan diadakan pada 6 Nov, diikuti mesyuarat
agung tahunan pada hari berikutnya, yang akan berlangsung di Taman Ekspo
Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan