Sabtu, 17 Oktober 2015

Menteri arah kaji Internet laju dengan harga mampu

MALAYSIAKINI


 


Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak mengarahkan kementeriannya memuktamadkan kaedah terperinci untuk mempertingkatkan kelajuan Internet di samping mengambil kira kemampuan pengguna.

Arahan itu dibuat selepas kenyataannya sebelum ini bahawa rakyat Malaysia lebih gemar Internet perlahan tetapi murah, mengundang kritikan hebat.

“Saya minta kementerian saya beri penekanan khas dan tumpukan kepada pembangkang infrastruktur untuk memperluas penembusan Internet dan liputannya di seluruh Malaysia.

“Apabila infrastrukturnya dapat menampung, kita mungkin pertimbang tukar pakej awal kepada kelajuan lebih tinggi tanpa sebarang peningkatan kos untuk memastikan pengguna tetap mampu tetapi pada masa yang sama ditawarkan lebih kelajuan.

“Kementerian saya sedang meneliti perkara ini,” tulisnya di blog hari ini.

Ketua parlimen DAP Lim Kit Siang bulan lalu berkata Salleh lebih berminat menjadi tukang propaganda kepada Datuk Seri Najib Razak daripada menumpukan kepada tugas meningkatkan had laju Internet.

Sebagai reaksi, Salleh berkata walaupun terdapat pakej Internet berkelajuan tinggi, ramai orang lebih gemar pada yang lebih perlahan kerana ia lebih murah.

Tiada ulasan: