Selasa, 27 Oktober 2015

Kos kawal Himpunan Baju Merah lebih mahal

 
Kos kawal selia Himpunan Baju Merah sebanyak RM4.5 juta hampir sekali ganda kos Bersih 4 yang berjumlah RM2.7 juta.


zahid-hamidi,merah


KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mendedahkan kos kawal selia Himpunan Rakyat Bersatu (Baju Merah) pada 16 September adalah lebih tinggi berbanding himpunan Bersih 4.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menjelaskan, kos keseluruhan bagi mengawal selia himpunan Bersih 4 adalah sebanyak RM2,737,440.00 manakala bagi Himpunan Rakyat Bersatu adalah sebanyak RM4,500,927.50.

“Bagi Bersih 4, pihak polis telah mengerahkan 191 orang pegawai dan 2,419 orang anggota lain-lain pangkat bagi mengawal sepanjang dua hari perhimpunan tersebut.

“Manakala, bagi Himpunan Rakyat Bersatu pada 16 September 2015, seramai 263 orang pegawai dan 3,648 orang anggota lain-lain pangkat dilapor telah terlibat secara langsung bagi mengawal perhimpunan tersebut dengan kos keseluruhan sebanyak RM4,500,927.50,” katanya dalam jawapan bertulis.

Zahid berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Seremban, Loke Siew Fook yang meminta KDN menyatakan jumlah anggota polis yang dikerah untuk mengawal perhimpunan Bersih 4 dan Himpunan Rakyat Bersatu.

Timbalan Perdana Menteri itu turut menjelaskan, bagi kedua-dua himpunan yang diadakan itu, anggota PDRM mengguna pakai semua elemen di dalam PDRM yang terdiri daripada keanggotan IPD Dang Wangi, Cawangan Trafik, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pasukan Gerakan Am (PGA).

Turut digunakan, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) dan cawangan K9, JSJ dan lain-lain elemen.
Difahamkan, kesemua elemen itu di bawah kawal selia Ketua Polis Kuala Lumpur.

Tiada ulasan: