Isnin, 19 Oktober 2015

Khairuddin, Chang dakwa AG hina mahkamah

MALAYSIAKINI


 


Bekas naib ketua Umno Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Mathhias Chang mahu tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Ini kerana, Apandi telah merujuk permohonan untuk mencabar tuduhan terhadap mereka sebelum permohonan itu didengar di mahkamah.

Menurut peguam mereka, Mohamed Haniff Khatri Abdullah, mereka berdua telah mengemukakan permohonan itu pada pagi Selasa dan Apandi mengulas perkara berkenaan pada semasa sidang medianya pada hari sama.

"Ketika kami di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada pukul 2 petang hari Selasa untuk menetapkan tarikh, Apandi telah membuat sidang media mengenai perkara ini pada jam 2.30 petang.

"Oleh itu, anak guam saya mengarahkan kami untuk meneliti perkembangan itu untuk mengenakan dakwaan menghina mahkamah terhadap," katanya.

Selasa lalu, Apandi menjelaskan bahawa Khairuddin dan Chang yang didakwa mengikut Kanun Keseksaan dan bukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma).

Apandi berkata, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 124L Kanun Keseksaan kerana didakwa cuba mensabotaj sistem perbankan dan kewangan negara dengan memfailkan laporan 1MDB di luar negara.

Mereka pada mulanya ditahan di bawah Sosma.

Tiada ulasan: