Khamis, 15 Oktober 2015

Kerajaan diminta henti ugut rakyat guna SOSMA

 
Kerajaan dituduh menyalahgunakan SOSMA bagi menyekat suara pembangkang.


Nik-Nazmi-Nik-Ahmad_law_600


PETALING JAYA: Kerajaan diminta supaya berhenti daripada mengugut rakyat dengan menyalahguna Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa, kerajaan dilihat telah menggunakan akta berkenaan bagi mengelak pihak tertentu daripada diambil tindakan kehakiman.

“Jelas terdapat corak penyalahgunaan undang-undang apabila integriti pihak berkuasa dipersoal dan ini boleh dibuktikan dengan penggunaan SOSMA ke atas individu padahal niat pembentukan undang-undang itu adalah untuk menyekat aktiviti keganasan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Menurut Nik Nazmi lagi, penggunaan Akta Hasutan yang semakin menjadi-jadi pada masa ini untuk menyekat suara pembangkang.

Katanya, langkah yang diambil oleh kerajaan itu dalam melakukan perkara berkenaan dengan tujuan politik dianggap sebagai satu tindakan kolot.

Jelasnya, apa yang berlaku itu sememangnya bertentangan dengan hak asasi rakyat seperti mana yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri telah berjanji untuk memansuhkan tetapi tidak menepatinya apabila mendapati kedudukan beliau sudah tidak selamat,” katanya.

Nik Nazmi turut mengambil contoh terhadap apa yang berlaku kepada aktivis Khalid Ismath apabila dia dikatakan telah dipaksa mengaku bersalah di atas dakwaan tertentu.

Katanya, apa yang berlaku itu merupakan ugutan dan ia telah melanggar hak pihak yang tertuduh.

Tiada ulasan: