Ahad, 18 Oktober 2015

Kenaikan tol: Pembangkang juga naikkan caj, kata Najib

Koh Jun Lin





Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membidas kerajaan negeri pembangkang hari ini, berkata bahawa mereka juga didapati ia perlu meningkatkan kadar bayaran yang dikenakan ke atas rakyat.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata antaranya kerajaan Pulau Pinang yang menaikkan caj pembangunan, tarif air dan bayaran letak kereta.

"Kami akan buat apa sahaja yang perlu untuk rakyat tai kerana kita kerajaan, kita tidak boleh ambil pendekatan populis setiap masa. Perkara realiti yang perlu kita sampaikan.

"Pembangkang, mereka kata mengenai semua perkara tapi bila mereka dalam kerajaan, (bayaran) naik juga...

"Jadi kadang kala kita kena kena naikkan. Kami tak ada pilihan. Jika tidak, kamu bayar pampasan. Ia sama juga dengan tol," katanya sewaktu menyampaikan ucapan dalam persidangan perwakilan nasional Gerakan di Shah Alam hari iini.

Ucapannya hadir susulan kenaikan harga tol dalam lebuh raya dalam bandar sekitar Kuala Lumpur dan Selangor minggu lalu.

Beliau juga mendedahkan bahawa kerajaan masih membayar RM588 juta pampasan kepada lebuh raya antarabandar tahun ini. [Baca berita asal]

Sementara itu Bernama melaporkan, Najib menggesa orang ramai supaya tidak menjadikan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai satu topik politik yang terus diperdebatkan dan membenarkan syarikat itu menjalankan tugas mereka.

Perdana Menteri berkata: "Izinkan 1MDB untuk diselesaikan, jika terdapat salah laku (dalam 1MDB) biar PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara) siasat, dan apa sahaja yang tindakan sewajarnya akan diambil.

"Oleh kerana kita telah dipilih oleh rakyat, kita akan melakukan tindakan yang terbaik," katanya ketika merasmikan persidangan Perwakilan Nasional ke-44 parti Gerakan di Shah Alam hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Presiden Gerakan Datuk Mah Siew Keong dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata setiap negara melalui masa yang sukar, termasuk Malaysia yang telah melalui krisis kewangan Asean dan berjaya pulih semula kerana ada keyakinan yang kuat dalam kepimpinan.

"Jika kita sokong kepimpinan, Insya-Allah, kita akan mengatasi semua cabaran politik dan ekonomi, malah masalah 1MDB dapat diselesaikan.

"Jangan benarkan ia (1MDB) menjadi satu topik politik yang terus diperdebatkan hanya kerana anda mahu menukar kerajaan dan kepimpinan negara. Anda tidak boleh (berbuat demikian) kerana kita dipilih secara demokratik oleh rakyat," kata Najib.

Mengulas mengenai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Najib berkata Malaysia harus terbuka kepada pasaran global untuk menjadi sebuah negara yang berjaya.

"Sebab itu kita mengambil bahagian dalam TPPA ... kerana kita adalah negara perdagangan utama dan negara perdagangan utama memerlukan pasaran. Malah pembekal perabot di Muar (Johor) boleh mengeksport ke negara-negara TPPA.

"Secara prinsipnya adalah baik jika kita menandatangani TPPA namun kita melindungi pasaran domestik. Percayalah, apa yang kita lakukan adalah cara yang betul ...kita percaya bahawa Malaysia sebuah negara moden dan progresif tetapi kita mesti terbuka kepada dunia," katanya.

TPPA akan dibahaskan di Parlimen tidak lama lagi dan ia akan mengambil masa tiga bulan sebelum sebarang keputusan dibuat.


Tiada ulasan: