TUMPAT,  Meskipun gaji minimum bagi kakitangan awam dan swasta dinaikkan daripada RM900 kepada RM1,200 dan RM1,000 namun masih ada kebimbangan persaingan daripada pekerja warga asing.


Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, kenaikan tangga gaji itu sedikit sebanyak dapat memastikan rakyat hidup dengan lebih selesa.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan dengan bilangan buruh asing yang masih ramai selain tawaran gaji yang lebih murah seperti RM800, ia akan mewujudkan persaingan.

“Kita harap kerajaan dapat menyelesaikan masalah warga asing iaitu mengawal kemasukan mereka yang menawarkan gaji lebih murah.

“Namun begitu, bagi pihak kerajaan Kelantan kita menyambut baik terhadap bajet yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam, kerana dapat membangunkan ekonomi negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Pembangunan Projek Pembangunan Impiana Taqwa Bandar Baru Pasir Pekan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Yakob berkata, projek menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa membantu memperkukuhkan ekonomi masyarakat setempat.

Katanya, projek itu sudah lama ditunggu Kelantan kerana mampu memacu ekonomi negeri ini dengan kemasukan pelancong.

“Alhamdulillah… kerajaan meluluskan permohonan untuk memperluaskan lapangan terbang. Ia untuk menampung jumlah pengguna bagi penerbangan tempatan dan luar negara.

“Dengan pemberian bajet itu, ia memberi kesan positif kepada ekonomi penduduk termasuk menambah peluang pekerjaan,” katanya.

Ahmad berkata demikian sebagai mengulas bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang semalam yang meluluskan sebanyak RM42 juta untuk menaik taraf lapangan terbang Kota Bharu dan Kuantan serta membina Lapangan Terbang Mukah, Sarawak.