Rabu, 14 Oktober 2015

KEADILAN desak undang-undang pembaharuan parlimen dibentang

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: KEADILAN mendesak kerajaan dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Azalina Othman membentangkan undang-undang untuk melaksanakan pembaharuan Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat akan datang.

Pengarah Strateginya, Sim Tze Tzin berkata, KEADILAN mengulangi sokongan penuh atas usaha speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mahu perkara itu dilaksanakan.

Menurut Sim, isu pembaharuan parlimen bukan perkara baru dan sejak 2011, satu Jawatankuasa Pembaharuan Undang-Undang Parlimen telah dibentuk dan bersidang sebanyak 5 kali.

Namun katanya, tiada tindakan diambil meskipun laporan dan cadangan jawatankuasa tersebut diserah kepada kerajaan pada tahun 2012.

“Tetapi kini, keadaan politik telah berubah, memandangkan sekarang Speaker, Perdana Menteri, Menteri dan juga ahli-ahli parlimen pembangkang semuanya menyokong penuh agenda pembaharuan parlimen.

“Maka tibalah masanya, kerajaan melaksanakan janji-janji perubahan yang dijanjikan kepada Speaker untuk mengangkat kewibawaan dan kebebasan institusi Parlimen,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bayan Baru.

Pandikar pada Mei lalu dilapor mahu meletak jawatan kerana menganggap parlimen seolah-olah hanya menjadi ‘Rubber Stamp’, namun menarik semula perletakan jawatannya.

Antara pembaharuan dicadangkan Pandikar adalah memansuhkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal-ehwal parlimen, mengembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 dan menggubal Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa).

Pandikar juga turut mencadangkan Jawatankuasa tetap parlimen ditubuhkan, meningkatkan infrastruktur parlimen ke tahap seperti bangunan di Putrajaya dan mengadakan Sesi Soal Jawab Perdana Menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman juga berkata kerajaan komited kepada agenda pembaharuan parlimen dan mahu membawa isu tersebut ke kabinet

Tiada ulasan: