KUALA LUMPUR,  Sembilan minggu berlalu dan malam ini akan menjadi penentuan siapakah empat finalis yang berjaya ke pentas akhir Akademi Fantasia 2015 (AF 2015) akan dijulang sebagai juara AF ke-12.


Tidak dinafikan, musim ke-12 ini boleh dikatakan sebagai antara musim terbaik sepanjang AF bersiaran sejak dari tahun 2003 dengan bakat-bakat yang dipilih kebanyakannya telah mengangkat AF ke satu tahap yang membanggakan.

Biarpun ramai yang menganggap program realiti popular itu sudah mula hilang taring dan tidak segah sedekad lalu, namun, AF 2015 telah memberi sinar dan harapan baru bahawa bakat yang dicungkil tahun ini mampu dibentuk menjadi penyanyi serta penghibur pelapis negara.

Persoalannya, kini, siapakah di antara empat finalis ini iaitu Syamel, Bila, Sufi dan Sharul yang benar-benar layak bergelar juara? Sesungguhnya tidak dapat dinafikan lagi persaingannya tahun ini memang sengit.

Dalam erti kata lain, keempat-empat mereka berpotensi untuk menjadi juara tetapi, sudah menjadi adat pertandingan, hanya seorang sahaja yang boleh merangkul kejuaraan itu.

Semuanya kini terletak kepada kebijaksanaan pengundi dan penyokong keempat-empat anak muda ini dalam membuat pilihan tepat untuk menobatkan salah seorang daripada empat bakat baharu ini.

Segala debaran dan teka-teki hanya akan terjawab malam ini kerana dikhabarkan pihak produksi AF 2015 telah bertungkus-lumus serta sudah bersedia untuk memberikan persembahan terbaik agar ia mampu menjadi salah sebuah konsert akhir AF yang diingati selama-lamanya.

Ditambah pula dengan persembahan istimewa oleh penghibur tersohor negara, Datuk Sheila Majid yang akan mendendangkan lagu baharunya, Sinaran Cinta secara eksklusif malam ini, akan menjadikan konsert akhir AF 2015 sesuatu yang begitu istimewa.

Buat peminat Akademi Fantasia, pastikan anda tidak ketinggalan menonton siaran secara langsung menerusi Astro Ria (saluran 104) dan Astro Ria HD (saluran 123) bermula pukul 9 malam ini.

Untuk menghangatkan lagi bahang konsert akhir AF 2015, The Rakyat Post mahu berkongsi dengan pembaca tentang ulasan dan ramalan kami.
af15-m-21
SYAMEL – Foto TRP/Mokhsin Zamani
Nama: Syameel Aqmal Mohd. Fodzly
Umur: 22 tahun
Asal: Cheras, Kuala Lumpur
Lagu yang akan dibawakan:
  1. Sampai Mati (dendangan asal Hazama)
  2. Hidup Dalam Mati (lagu baharu ciptaan sepenuhnya oleh Syamel)

Ulasan:

Kalaulah AF 2015 tidak menggunakan undian peminat, tidak syak lagi anak muda ini dengan mudahnya akan menjadi juara musim ini. Tetapi, semuanya bersyarat seandainya Syamel dapat memberikan persembahan yang luar biasa.

Memang tidak dinafikan Syamel memiliki kualiti vokal yang jarang dimiliki oleh penyanyi hari ini tetapi ada kalanya persembahannya dilihat terlalu biasa.

Benar, Syamel jarang mengecewakan peminat dan penonton tetapi untuk menjadi seorang penyanyi yang hebat, Syamel harus berusaha lebih dan bekerja keras dalam memberikan warna dalam persembahannya.

Kalau ikutkan, The Rakyat Post juga seperti kebanyakan orang lain mahu Syamel menjadi juara kerana bakat yang dimilikinya itu. Justeru, diharapkan orang ramai dapat membuat pilihan yang bijak dalam memilih pelajar yang layak bergelar juara.

Namun, seandainya rezeki tidak berpihak kepada Syamel untuk menjadi juara, ramai percaya Syamel mampu untuk berjaya menjadi seorang penyanyi yang berjaya di masa hadapan. Lagipun, dia masih muda dan perjalanannya masih panjang. Good luck to you Syamel!
af15-m-20
BILA – Foto TRP/Mokhsin Zamani
Nama: Nurnajmi Nabila Samsaidi
Umur: 19 tahun
Asal: Setiawangsa, Kuala Lumpur
Lagu yang akan dibawakan:
  1. Karma (dendangan asal Faizal Tahir)
  2. Diam Saja (lagu baharu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim)

Ulasan:

Jika bukan Syamel, nama Bila antara yang menjadi pilihan untuk menjadi juara tahun ini. Seandainya juara menjadi miliknya, maka, Bila akan menjadi peserta wanita ketiga selepas Mila dan Stacy yang menjadi juara Akademi Fantasia.

Tidak dapat dinafikan lagi, gadis ini telah mencipta fenomena sepanjang AF 2015 berlangsung dan ramai yang mengagumi bakat yang dimiliki oleh anak kepada pemain bass kumpulan Wings, Eddie ini.

Secara tidak langsung, kegilaan peminat terhadap Bila kini sudah terbukti bahawa bakat yang dimiliki olehnya mula dipandang dan membuatkan ramai tidak lagi melihat kepada paras rupa mahupun bentuk fizikal.

Ditambah pula, dengan pujian yang sering diberikan oleh juri tetap AF 2015, Datuk Ramli MS membuatkan Bila terus berdiri kukuh sepanjang program ini berlangsung dan seterusnya layak untuk ke peringkat akhir.

Seeloknya, itulah yang wajar diberikan perhatian kerana bakat semulajadi yang dimiliki adalah kurniaan daripada Allah SWT dan tidak mampu untuk diubah jika hendak dibandingkan dengan fizikal.

Sebetulnya, sebelum kemunculan Bila lagi, ramai bakat peserta wanita dalam sejarah Akademi Fantasia telah dikaburkan dengan pelbagai faktor serta aspek lain sehingga menyempitkan ruang buat mereka untuk menonjolkan bakat mereka.

Pastinya, ramai yang mahu melihat kehebatan Bila menyampaikan lagu Karma dan lagu baharunya yang dijamin akan meninggalkan impak buat penonton malam ini.
af15-m-19
SUFI – Foto TRP/Mokhsin Zamani
Nama: Mohammad Sufie Rashid
Umur: 24 tahun
Asal: Batu Pahat, Johor
Lagu yang akan dibawakan:
  1. Andaiku Bercinta Lagi (dendangan asal kumpulan Mojo)
  2. Kisah Dua Muka (lagu baharu ciptaan sepenuhnya oleh Sufi)

Ulasan:

Kalau diukur kepada populariti, memang tidak mustahil Sufi untuk menjadi juara malam ini. Sebelum ini pun, undian untuknya memang cukup tinggi dan telah meletakkannya di tangga pertama.

Percaya atau tidak, undian untuk Sufi memang cukup tinggi dan meninggalkan jauh peserta lain. Disebabkan itu, Sufi kini diletakkan sebagai calon utama untuk bergelar juara.

Akan tetapi, itu tidak bermakna Sufi tidak berbakat. Jika dia tidak berbakat, mana mungkin dia mampu untuk menjadi seorang penyanyi di Singapura dan pernah memenangi kategori Lagu Singapura Terbaik Anugerah Planet Muzik menerusi lagu Tiada Pengganti tahun lalu.

Tidak dinafikan, Sufi memiliki kualiti vokal tersendiri dan dia juga memang layak untuk ke pentas akhir AF 2015. Cuma, pada pemerhatian The Rakyat Post, ada ketika Sufi kurang memberikan penghayatan pada lagu yang dipersembahkannya penggunaan teknik vokalnya pada kedudukan yang tidak betul.

Diharapkan untuk malam ini, Sufi tidak akan menghampakan peminatnya yang tidak pernah jemu menyokongnya selama ini sehingga melayakkan dirinya ke peringkat akhir.
af15-m-22
SHARUL – Foto TRP/Mokhsin Zamani
Nama: Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman
Umur: 19 tahun
Asal: Port Dickson, Negeri Sembilan
Lagu yang akan dibawakan:
  1. Just The Way You Are (dendangan asal Bruno Mars)
  2. Hanya Kamu (lagu baharu ciptaan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim)

Ulasan:

Menjadi peserta bukan pilihan atau underdog untuk ke peringkat akhir bukanlah satu masalah buat Sharul kerana sebarang kemungkinan boleh terjadi.

Pun begitu, Sharul mendapat pujian daripada Ramli MS dan pengetua AF 2015, Edry Abdul Halim yang menyifatkannya sebagai pelajar yang telah menunjukkan peningkatan ketara dalam persembahannya.

Mungkin ada yang tidak bersetuju tetapi sebagai mereka yang lebih berpengalaman, pastinya Ramli dan Edry lebih faham dan tahu prestasi Sharul. Bahkan dalam episod terakhir Diari AF 2015, Edry memberikan tempoh lima tahun dari sekarang untuk melihat Sharul menjadi seorang penyanyi yang berjaya.

Seandainya Sharul memberikan komitmen dan tumpuannya dalam persembahannya malam ini lebih daripada 100 peratus, usah dipersoal seandainya juara menjadi miliknya.

Setidak-tidaknya dia telah membuktikan pada minggu lalu apabila berjaya menewaskan dua bekas peserta lain, Lisa dan Rachel untuk menjadi salah seorang finalis tahun ini. Jika diukur aspek lain, Sharul memiliki kelebihan paras rupanya yang menjadi eye candy khusus buat peminat wanita.