Rabu, 21 Oktober 2015

JKM kaji latar belakang budak jual ulam

Budak jual ulam tolong ibu tarik simpati netizen


IPOH – Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membuat penilaian rapi bagi mengenal pasti masalah utama hingga seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi viral di laman sosial dan dan dikatakan meninggalkan alam sekolah untuk menjual ulam bagi menyara keluarga.

Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Kinta, Noor Hanizah Zulkafli berkata, maklumat itu penting bagi menentukan bentuk bantuan dan tindakan lanjut yang boleh diambil JKM melalui akta sedia ada termasuk Akta Kanak-kanak 2001.

Menurutnya, berdasarkan tinjauan ke kediaman keluarga itu di Hala Jati Meru, Jelapang Jaya, tidak banyak informasi yang diperoleh apabila kelibat kanak-kanak berusia 11 tahun itu tidak dapat dikesan.

“Kita hanya dapat berhubung dengan ibunya sahaja, itu pun banyak maklumat yang masih kabur.

“Untuk kes seperti ini, JKM perlu kaji latar belakang dan keperluan sebenar keluarga ini sama ada berlaku kekurangan dari aspek kewangan atau dari segi sosialnya dan ia akan mengambil masa sedikit,” katanya kepada media, hari ini.

Kisah kanak-kanak dikenali Hafiz ini mula mendapat perhatian di Facebook apabila dia dilihat sanggup mencari dan menjual ulam-ulaman kampung antaranya bunga kantan, pucuk paku dan ubi kayu di pasar sekitar Meru Raya bagi menampung kehidupan adik dan ibu bapanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Budak jual ulam tolong ibu tarik simpati netizen

Kanak-kanak ini juga dilaporkan tidak lagi bersekolah dan hanya menunggang basikal yang diletakkan bakul bagi mengangkut hasil pencarian tanaman untuk dijual.

Hasrat wartawan untuk menemui sendiri Hafiz tidak kesampaian apabila dimaklumkan dia berada di luar, hanya basikal seperti yang dipaparkan dalam Facebook ada di rumah berkenaan.
Noor Hanizah berkata, masih terlalu awal untuk mengklasifikasikan kes itu  sebagai eksploitasi kanak-kanak memandangkan tiada maklumat tepat diperoleh mengenai keluarga berkenaan.

“Data yang kita ada pun hanya berkaitan dengan wanita yang dikatakan ibu Hafiz iaitu Norzuraida Zakaria, kita akan membuat pertemuan lagi bagi mengetahui lebih banyak maklumat.

“Ada beberapa isu yang perlu kita lihat antaranya pertalian antara pasangan ini dengan kanak-kanak terbabit, keutamaan kita tentunya pada Hafiz, namun kena fikir juga keselamatan ahli keluarga lain, jika perlu diselamatkan, kita akan selamatkan,” katanya.

Dalam pada itu, Norzuraida, 29, ketika ditemui enggan bercerita lanjut ketika diajukan mengenai perihal Hafiz.

Bagaimanapun, dia mengakui, Hafiz tinggal bersamanya di rumah peninggalan arwah datuknya itu bersama anak bongsu berusia 2 tahun dan suami dikenali Ismail.

Sementara seorang lagi anaknya dikatakan dalam jagaan saudara di Kedah.

“Saya tak boleh nak cakap banyak, sakit kepala,” katanya.

Norzuraida yang tidak bekerja menerima bantuan Baitulmal berjumlah RM350 sebulan, sejak setahun lalu.


Tiada ulasan: