SHAH ALAM,  Universiti Teknologi Mara (UiTM) menangguhkan jadual kuliah di semua cawangannya di Selangor esok, berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang mencapai tahap sangat tidak sihat hari ini.


Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, penangguhan itu hanya melibatkan jadual kuliah, manakala peperiksaan akhir pelajar diploma akan diteruskan mengikut jadual dan warga kerja UiTM dikehendaki hadir bertugas seperti biasa.

Katanya, penangguhan kuliah pada hari-hari berikutnya akan diumumkan sehari sebelum tarikh penangguhan, berdasarkan pemantauan IPU dari semasa ke semasa.

“Bagi kampus UiTM di negeri lain, makluman mengenai penangguhan kuliah adalah berdasarkan bacaan IPU, namun, ia tertakluk kepada keputusan Rektor Kampus masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, 931 sekolah rendah dan menengah di seluruh Selangor pula ditutup selama dua hari, bermula esok, akibat jerebu yang melanda ketika ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Zainuren Mohd Noor berkata, ia melibatkan 916,223 pelajar dan arahan penutupan berkenaan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan hari ini, disebarkan kepada semua pentadbir sekolah serta-merta.

Jumlah sekolah rendah dan menengah yang ditutup adalah 131 di Klang; Kuala Selangor (92); Kuala Langat (72); Hulu Langat (127); Hulu Selangor (68); Sabak Bernam (64); Gombak (104); Sepang (51); Petaling Perdana (136); dan Petaling Utama (86).

Setakat jam 1 tengah hari tadi, beberapa kawasan di Selangor masih merekodkan bacaan IPU pada paras sangat tidak sihat, termasuk Shah Alam (266), Pelabuhan Klang (227), Petaling Jaya (218) dan Banting (217).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan, semua sekolah di Semenanjung Malaysia, kecuali Kelantan ditutup selama dua hari, mulai esok.