Jumaat, 23 Oktober 2015

Indonesia mohon bantuan atasi jerebu selepas usaha dalaman gagal

ANTARAPOS.COM


Post Pic


PUTRAJAYA: Indonesia memohon bantuan luar menangani kebakaran selepas segala usaha memadam kebakaran dan operasi pembenihan awan tidak berhasil, sementara skala kawasan terbakar pula semakin melebar, kata Kaunselor Menteri di Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia, Freddy M Panggabean.

Beliau berkata, ia diputuskan selepas lebih 22,000 anggota keselamatan bersama 24 pesawat digerakkan bagi memadamkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu sehingga menjejaskan kualiti udara negara jiran itu.

Ditanya pemberita mengapa Indonesia mengambil masa sebelum meminta bantuan luar, selepas menghadiri Bicara Persada: Bernafas Dalam Jerebu Sampai Bila? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dekat sini hari ini, Freddy berkata setiap negara mempunyai polisi untuk mengawal bencana secara dalaman terlebih dulu.

"Ia tidak harus diertikan sebagai Indonesia tidak mahu menerima bantuan luar sebaliknya keputusan itu tentunya dibuat atas keyakinan aset dan keupayaan dalaman yang dimiliki mampu digunakan dalam melaksanakan operasi memadam kebakaran," katanya.

Selain Malaysia, Presiden Indonesia Joko Widodo secara rasmi turut meminta bantuan daripada Singapura, Russia dan Jepun. Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa Malaysia tidak akan mengenakan sebarang bentuk tekanan kepada Indonesia dalam menangani gejala jerebu, Freddy berkata ia membuktikan wujud persefahaman antara dua negara berjiran.

Katanya, kenyataan itu juga jelas menyerlahkan keyakinan Malaysia terhadap usaha serta tindakan yang sedang dan akan dilakukan kerajaan Indonesia dalam menangani kebakaran hutan yang menyebabkan gejala jerebu.

Ahmad Zahid semalam dilaporkan berkata bahawa tidak adil untuk Malaysia mengenakan sebarang bentuk tekanan kepada Indonesia dalam menangani gejala jerebu rentas sempadan yang berpunca dari republik itu berdasarkan usaha bersungguh-sungguh negara itu untuk mengatasi kebakaran tanah gambut. – BERNAMA

Tiada ulasan: