Rabu, 14 Oktober 2015

Harga minyak boleh diturunkan, rakyat bayar mahal angkara k’jaan

Oleh Azuan Ab Rahman


PETALING JAYA : Beberapa kesilapan dan kelemahan dalam pengurusan ekonomi kerajaan yang diterajui Datuk Seri Najib Razak mengakibatkan rakyat terus menanggung beban sara hidup.

Satu dari kesan tersebut adalah harga minyak yang mahal walaupun harga minyak mentah dan minyak siap proses sebenarnya kekal murah di pasaran antarabangsa.

Jawatankuasa Ekonomi Pakatan Harapan (PH) berkata, harga minyak mahal yang terpaksa ditanggung rakyat berpunca dari kesilapan kerajaan menetapkan formula bagi harga bahan api itu.

R3

“Kesilapan pertama ialah apabila formula menetapkan harga bulanan untuk RON95, Diesel dan RON97 menggunakan harga rujukan di dalam mata wang Dollar Amerika (USD),” jelas anggota jawatankuasa tersebut, Rafizi Ramli.

Tambahnya, kerajaan Umno BN sejak tahun 1980-an telah menggunakan harga rujukan dari Singapura dalam menentukan kos minyak mentah.

Sedangkan maklumat lebih tepat bagi menentukan harga minyak untuk dijual boleh ditentukan berdasarkan maklumat dari beberapa syarikat minyak yang memproses minyak di Malaysia sendiri.

“Kita ada empat loji penapisan minyak di Malaysia, harga sebenarnya boleh ditentukan berdasarkan maklumat dari kilang penapisan ini,” kata Rafizi.

Kelemahan kerajaan mentadbir mata wang sehingga menyebabkan nilainya jatuh teruk berbanding Dollar Amerika turut disifatkan menjadi punca rakyat terpaksa membayar harga yang tinggi untuk bahan api itu.

“Walaupun harga minyak dalam USD sebenarnya kekal murah, tetapi apabila diterjemahkan ke dalam ringgit menggunakan formula itu ia menjadi mahal akibat faktor mata wang dan bukannya kerana harga minyak di pasaran mahal.

“Justeru Pakatan Harapan menyeru Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan merombak kembali sistem penetapan harga minyak menggunakan harga rujukan dalam mata wang Amerika.

“Ini bagi melindungi rakyat Malaysia dari kesan kejatuhan mata wang ringgit akibat kelemahan kerajaan Umno BN sendiri,” tambah Ahli Parlimen Pandan itu lagi.

Tiada ulasan: