GEORGE TOWN: Orang ramai hanya boleh membuat urusan tambah nilai
minimum RM50 di lorong-lorong tambah nilai di Jambatan Pulau Pinang
bermula hari ini.
Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad Datuk Noorizah Abd Hamid berkata
langkah itu diambil selepas kajian teliti dibuat terhadap lorong tambah
nilai yang sering sesak dan mengganggu kelancaran lorong-lorong
elektronik yang lain.
"Tindakan ini perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kekerapan orang
ramai membuat urusan tambah nilai di lorong tambah nilai di Jambatan
Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini Khamis.
Walau bagaimanapun, Noorizah berkata pelaksanaan ini dikecualikan untuk
tambah nilai motosikal sedia ada yang mana pengguna masih boleh membuat
urusan tambah nilai serendah RM5.
Katanya pengguna masih boleh menambah nilai serendah RM10 dan tanpa caj
di Pusat Khidmat Pelanggan PLUS di bangunan pejabat Plaza Tol Jambatan
Pulau Pinang, Juru, Sungai Dua atau Plaza Tol Kubang Semang.
"Orang ramai juga boleh menambah nilai kad elektronik mereka di lebih
580 lokasi tambah nilai yang lain di sekitar Pulau Pinang termasuklah
mesin-mesin ATM, stesen minyak, kedai serbaneka 24 jam, pasar raya
terpilih dan lain-lain lagi," katanya.
Kutipan tol secara elektronik dilaksanakan sepenuhnya di lima buah
plaza tol di utara iaitu di Plaza Tol Jambatan Pulau Pinang, Bukit Kayu
Hitam, Jitra, Kubang Semang dan Lunas bermula 9 Sept lepas.
-- BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan