JOHOR BARU,  Polis merampas empat pistol daripada beberapa individu disyaki penjenayah dalam sebuah rumah di Skudai, dekat sini, lewat semalam.


Serbuan dan rampasan telah dijalankan oleh pasukan dari Pasukan Petugas Khas Melawan Jenayah Terancang (STAFOC).

Pasukan itu turut dibantu beberapa pegawai dan kakitangan dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ).

STAFOC adalah sebuah unit elit polis persekutuan dengan keupayaan pelbagai tugas ditubuhkan pada Januari tahun lepas untuk mengurus dan menangani jenayah yang serius, sindiket haram, gangsterisme, perjudian, maksiat dan perdagangan manusia.

Beberapa individu, dipercayai sebahagian daripada geng jenayah lebih besar, ditangkap dan kini dalam tahanan polis.

Difahamkan, serbuan yang sebahagian daripada Ops Cantas Khas yang sedang dijalankan, diadakan pada jam 10.30 malam.

Susulan itu, polis turut membuat sekatan jalan raya sebagai sebahagian daripada pemeriksaan pencegahan jenayah di beberapa daerah di selatan Johor, malam tadi.

Dalam taklimat menerusi Twitter pada jam 11.48 malam tadi, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengucapkan tahniah kepada STAFOC dan pasukan JSJ Johor untuk kejayaan mereka.

“Syabas STAFOC dan JSJ Johor @PDRMsia tadi berjaya merampas 4 pucuk pistol di Tmn (Taman) Skudai, JBaru (Johor Baru) dari ahli Kump (Kumpulan) Penjenayah. Go PDRM (Polis DiRaja Malaysia) Go,” tulisnya dalam akaun Twitter miliknya malam tadi.

Difahamkan, senjata yang dikenal pasti sebagai 9 milimeter (mm) pistol separa automatik, telah dihantar ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor dekat sini, untuk dianalisis dan diperiksa jika ada dilaporkan hilang
Pada masa sama, pistol itu juga akan menjalani ujian balistik untuk menentukan sama ada ada digunakan dalam beberapa kes tembakan di negeri ini sejak April tahun ini.

Polis dijangka mengadakan sidang media mengenai perkara itu tidak lama lagi.