Khamis, 8 Oktober 2015

Dilema bai'ah di kalangan 10 wakil rakyat PAS Kelantan yang mahu sertai Amanah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Khabar angin mengenai 10 wakil rakyat PAS Kelantan bakal melompat parti dan menyertai Parti Amanah Negara (Amanah) mula bertebaran dan dikatakan menggugat ketenteraman politik negeri itu.
 
Hal itu mula ditimbulkan oleh Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB), Mohamad Sabu ketika melancarkan Amanah pada 31 Ogos lalu.
 
Ia kemudiannya dimainkan oleh Pengerusi Amanah Kelantan, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah ketika melancarkan parti berkenaan pada 11 September lalu.
 
Khabar angin itu bagaimanapun ditepis oleh Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dengan menyifatkan ia hanyalah perang saraf pihak lawan untuk mendapatkan sokongan.
 
10 wakil rakyat tersebut dikatakan terdiri daripada tiga ahli parlimen dan tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
 
Namun, isu bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga kemungkinan menjadi kekangan kepada 10 wakil rakyat berkenaan, demikian menurut Pengarah Insititu Kajian Politik Malaysia (MAPAN), Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff.
 
Beliau menegaskan tindakan lompat parti itu tidak akan menjadi kenyataan apatah lagi Mufti Kelantan, Datuk Muhamad Shukri Muhamad dan Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Mohammad, sepakat bahawa bai'ah dan lafaz taklik cerai talak tiga yang dikenakan ke atas wakil rakyat PAS adalah sah.
 
"Jika wakil rakyat PAS Kelantan tetap keluar daripada PAS di sebalik bai'ah mereka ini, maka sudah tentu mereka akan menghadapi tekanan daripada masyarakat setempat," katanya.
 
"Jika pun 10 wakil rakyat PAS Kelantan, terutama tujuh ADUN berkenaan benar-benar keluar daripada PAS menjelang Januari ini ia tetap tidak akan mengganggu keutuhan Kerajaan PAS Kelantan kerana mereka masih tetap mempunyai majoriti yang selesa dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak memungkinkan ia akan tumbang. 
 
"Pada masa sama, kemungkinan untuk tujuh ADUN PAS Kelantan yang keluar daripada parti itu bergabung dengan wakil rakyat BN untuk cuba menumbangkan Kerajaan PAS Kelantan juga adalah terlalu kecil," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: